Ahad, 29 Mei 2011

Muktamar : Bukti PAS Tidak Ketandusan Pemimpin

Ditulis oleh Hadri Yaziz



RAWANG : Barisan kepimpinan Pas menyifatkan pertembungan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan utama pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 minggu depan merupakan persaingan sihat yang berlaku dalam parti itu.

Menurut Yang DiPertua Pas Selayang, Zaidy Abdul Talib, senario yang berlaku ini juga menggambarkan bahawa Pas tidak ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk meneruskan cita-citanya bersama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Ini satu petanda positif yang akan memeriahkan lagi suasana selain menunjukkan Pas adalah parti terbuka. Suasana yang cukup gembira ini menunjukkan Pas tidak ketandusan pemimpin," kata beliau.

Justeru kata Zaidy lagi, isu kenegerian yang diuar-uarkan sebelum ini tidak timbul memandangkan kesemua calon yang disenaraikan memenuhi kriteria sebagai pemimpin.

"Isu kenegerian tidak timbul. Kita akan memilih berdasarkan merit kerja," jelas beliau dalam sidang media selepas program ceramah perdana 'Pas Ganti Umno' di Kundang, semalam.

Beliau mengulas spekulasi yang ditimbulkan sesetengah pihak berdasarkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat bahawa dua calon dari negeri Kelantan iaitu Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan memenangi jawatan Naib Presiden.

Pada pemilihan kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru untuk jawatan timbalan presiden dan enam penjuru bagi naib presiden.

Calon yang akan bertanding untuk jawatan nombor dua parti adalah penyandangnya Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja Mohamad Sabu.

Untuk jawatan naib presiden, selain dua penyandang Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, empat pemimpin lain yang turut bertanding adalah ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ketua Penerangan Idris Ahmad dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Pada pemilihan 2009, saingan timbalan presiden menyaksikan pertarungan tiga penjuru manakala naib presiden pula lima penjuru.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden yang disandang sejak 2002.

Jelas Zaidy, beliau turut menyifatkan kesemua calon yang dipertandingan kali ini berpotensi besar serta berpeluang untuk memenangi sebarang jawatan.

Pas sebelum ini mendakwa sebarang pertandingan jawatan dalam parti tidak akan menggugat kestabilan parti malah menyifatkannya sebagai petanda amalan demokrasi yang segar.

Turut menjadi perhatian pecahan kumpulan-kumpulan di dalam Pas iaitu kumpulan pro-ulama dan kumpulan "Erdogan" yang dikaitkan dengan sokongan kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pemilihan kali ini seramai 1,100 perwakilan akan memilih barisan kepimpinan PAS pusat manakala 750 perwakilan untuk sayap-sayap parti Islam itu.

Keputusan pemilihan PAS pusat akan diumumkan pada 4 Jun manakala untuk sayap-sayap lain pada 2 Jun.

Muktamar Pas akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan bertempat di Taman Melewar, Gombak.

Tiada ulasan: