PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan lebih banyak bangunan hijau dibina di negara ini memandangkan ia dapat menjimatkan kos serta menjamin kualiti alam sekitar lebih baik.
Katanya kerajaan akan meneliti bentuk insentif kepada pihak yang berminat membina rumah dan bangunan berkonsepkan Indeks Bangunan Hijau (GBI) sebagai galakan.
"Kita mungkin akan tawarkan insentif pada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam pembinaan ini supaya lebih ramai lagi terlibat dalam program seperti GBI.
"Ciri-ciri reka bentuk dan penggunaan teknologi yang membolehkan penjimatan tenaga sehingga 60 peratus dan penjimatan air sehingga 65 peratus ini seharusnya dijadikan contoh untuk dilaksanakan dalam projek-projek pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Berlian dan sambutan 10 Tahun Penubuhan Suruhanjaya Tenaga di sini Selasa.
Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata Bangunan Berlian itu adalah bangunan canggih kerajaan yang mengguna pakai konsep bangunan hijau yang mempunyai penggunaan sumber tenaga dan air yang cekap berbanding bangunan konvensional lain.
Bangunan itu juga ditauliahkan sijil Platinum GBI dari Malaysia serta Sijil Platinum "Green Mark" iaitu penarafan bangunan hijau yang digunakan di Singapura.
Ia merupakan bangunan hijau kerajaan yang ketiga selepas bangunan pejabat rendah tenaga (LEO) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta bangunan pejabat tenaga hijau (GEO) Malaysian Green Technology Corporation.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan