Selasa, 31 Mei 2011

Gerakan dakwah PAS berjaya di Sarawak

M Faqih


BACHOK: Biar pun belum mampu menang pada pilihan raya negeri Sarawak April lalu, namun peranan PAS sebagai sebuah parti dakwah dianggap sudah berjaya di negeri tersebut.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, hasil gerak kerja kempen, program kebajikan dan keperibadian pemimpin ternyata berjaya menarik perhatian masyarakat bukan Islam di sana.

“Seorang penduduk Iban tertarik mendekati Islam hasil usaha yang dilakukan jentera PAS sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

“Akhirnya penduduk terbabit mengucap syahadah dan menerima Islam sebagai anutan. Ini berpunca hasil kesedarannya selepas berdamping dengan pemimpin PAS,” katanya pada ceramah di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu juga seramai 20 anak muda diketuai Rofadli Ghazali menyerah borang menyertai PAS kepada Nasharuddin.

Beliau yang juga anggota parlimen Bachok berkata, biar pun PAS belum berjaya menang pada pilihan raya negeri Sarawak, namun undi diperolehi calon PAS meningkat banyak.

Katanya, PAS hampir berjaya bertapak di Dun Beting Maro dan hanya tewas di bawah 400 undi.

Beliau juga menyifatkan kedudukan Umno dan BN begitu terdesak sekarang apabila terpaksa mencipta fitnah paling besar dalam sejarah negara bagi melemahkan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: