Isnin, 30 Mei 2011

Umno mahu berkuasa sendirian di Selangor

Oleh Safar Jumaat

UMNO Selangor di bawah kepimpinan Presidennya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memasang cita-cita untuk menawan kembali Selangor daripada tangan Pakatan Rakyat dalam PRU13 akan datang.

Dari 56 kerusi yang ada di Selangor, Umno nampak ada 30 kerusi, yang kesemuanya bakal ditandingi wakil Umno yang mewakili BN mempunyai harapan untuk menang tetapi tidak langsung menaruh harapan di kerusi-kerusi yang diwakili rakan-rakan komponen BN, termasuk yang diwakili MCA, MIC dan Gerakan!

Cuma, untuk mereka menang di 30 kerusi ini, mereka masih bergantung kepada sokongan MCA, MIC dan Gerakan di kawasan-kawasan yang diwakili Umno, tetapi dalam masa yang sama, Umno tidak memberi sokongan atau fokus kepada kawasan-kawasan yang diwakili MCA, MIC dan Gerakan.

Bukan sahaja mereka tidak berkeyakinan boleh menang di kawasan yang bukan diwakili Umno, malahan, mereka tidak percaya ada sokongan daripada pengundi Cina dan India di kawasan yang ditandingi MCA, MIC dan Gerakan, hingga boleh menyebabkan calon BN di situ mampu menang.

Begitu dahsyat penghinaan Umno Selangor terhadap MCA, MIC dan Gerakan. Bukan sahaja mereka tidak yakin kerusi-kerusi yang diberikan kepada rakan-rakan komponen BN ini mampu menang, malahan mereka mahu berkuasa sendirian, tanpa bantuan daripada rakan-rakan mereka yang lain.

Tidak cukup dengan penghinaan itu, ketika Umno Selangor masih mengharapkan sokongan undi daripada pengundi Cina dan India di kawasan yang ditandingi Umno, Umno Selangor tidak mempunyai sedikit pun keyakinan bahawa ada kerusi yang diwakili MCA, MIC atau Gerakan akan memberi sumbangan kepada BN kali ini di Selangor.

Dari strategi yang disusun Umno, mengedarkan video lucah adalah salah satu dari tugas besar. Itulah sebabnya, di mana-mana sahaja ada program Pakatan Rakyat di Selangor, risalah dan video lucah ini diedarkan sebanyak mungkin, termasuk diletakkan di cermin-cermin kenderaan yang memenuhi kawasan ceramah diadakan.

Dulu mereka cuba menyeret Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan isu rasuah, kononnya menyalahgunakan kuasa dalam isu lembu korban dan penggunaan kenderaan sendiri tetapi tidak lekat.

Mereka kejar lagi Menteri Besar dengan isu-isu lain, juga tidak lekat dan kini, mereka berusaha sedaya upaya untuk menarik sokongan orang Melayu di Selangor supaya hilang keyakinan kepada Pakatan Rakyat dengan menonton video lucah.

Setakat ini, inilah strategi Umno untuk kembali berkuasa di Selangor. Nama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato’ Seri Noh Omar makin tenggelam kebelakangan ini, khabarnya kerana tidak mahu mengecilkan hati orang-orang Cina dan India di Selangor.

Imej Noh dikatakan tercemar apabila dia masih berpegang kepada cerita orang Cina dan India adalah kaum pendatang, ketika menyampaikan ucapan di satu Konvensyen BN tidak lama dahulu. Dia kemudiannya meminta maaf apabila ada bantahan terhadap ucapannya itu dan menarik balik kata-katanya.

Namun, orang Cina dan India dalam MCA. MIC dan Gerakan tidak dapat melupakan kata-kata Noh itu walaupun, mulut mereka berkata mereka bersedia memaafkannya.

Umno Selangor juga resah dengan cerita beberapa pemimpin bahagian mereka yang terpalit dengan dakwaan rasuah. Bekas Menteri Besar, Dr. Mohd Khir Toyo sedang berhempas pulas mempertahankan diri dari dakwaan membeli rumah dengan harga rendah dari harga sebenar.

Dato’ Kuris Mohd Nor yang merupakan bekas Adun di Hulu Langat baru sahaja dibebaskan dari dakwaan terkait rasuah. Bekas Ketua Umno Bahagian Pandan juga begitu. Ahli Parlimen Sabak Bernam masih belum pasti nasibnya dan ramai lagi yang terpaksa menutup mulut kerana bimbang kes masing-masing terdedah juga.

Dari semua masalah ini, Umno Selangor yang tergamam selepas negeri ini tumbang dalam PRU12 yang lalu, terpaksa juga memujuk beberapa pemimpin bahagian yang dikatakan berkecil hati dengan sikap Najib terhadap mereka.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sampai sekarang masih bercuti daripada menerajui Umno Bahagian Kelana Jaya.

Dato’ Kapten (B) Zahar Hashim bertindak meninggalkan kepimpinan Umno dan mengisytiharkan dirinya menyertai PAS, manakala Dato’ Seri Mohd Zin Mohamad baru sahaja sejuk hatinya sejak digugurkan daripada kabinet dengan menerima pelantikan menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor.

Ketika mereka semua terkial-kial mencari pengganti Dr Khir Toyo dan Muhammad, timbullah idea untuk menjadi pengedar video lucah di merata tempat. Walaupun, mereka boleh menafikan dakwaan itu, tetapi mustahil ada pihak lain yang sanggup mengeluarkan modal dan kos mencetak begitu banyak video dan risalah untuk diedarkan secara percuma.

Tentulah mereka mengharapkan orang Melayu percaya akan video itu dan sekali gus menolak Pakatan Rakyat.

Jika dengan pengedaran video pun BN masih tidak mampu menang lagi, mereka tentulah tidak mempunyai keupayaan lain lagi untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Umno mengharapkan pengundi Melayu kembali menyokong BN. Dalam masa yang sama, Umno tidak pula berusaha untuk mendapatkan kembali sokongan terbuka daripada Muhammad dan beberapa bekas pemimpin yang merajuk.

Jika mereka gagal memujuk Muhammad, bagaimanakah mereka mampu memujuk pengundi?

Apakah mereka boleh menyakinkan kepada pengundi di Selangor bahawa beberapa nama pemimpin Umno yang terpalit dengan kes di mahkamah hanya "kesilapan teknikal" dan ia tidak membebankan BN dalam pilihan raya akan datang?

Ketika mereka bercerita tentang moral beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, dapatkan mereka menyakinkan pengundi bahawa moral pemimpin-pemimpin Umno di Selangor cukup bersih?

BN di Selangor sebenarnya tidak mempunyai pemimpin yang dilihat bersih di mata pengundi.

Itulah sebabnya mereka terkial-kial mahu menonjolkan beberapa nama baru dalam Umno yang kononnya boleh dibandingkan dengan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Malangnya, sehingga hari ini mereka gagal dan yang boleh, hanya mereka menjadi pengedar video lucah dengan harapan rakyat melupakan kes yang membabitkan pemimpin Umno kerana asyik melihat video lucah!

Kasihannya Umno Selangor. Sampai bankrap modal. Bukan setakat bankrap modal, malahan bankrap moral juga!

Tiada ulasan: