KUALA LUMPUR – MIC kesal dengan tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pembahagian pembiayaan biasiswa yang didakwa parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebagai tidak adil dan mahukan satu siasatan bebas.
Naib Presidennya Datuk S.K. Devamany berkata, JPA telah gagal mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan Kabinet.
Justeru, kata Devamany, pihaknya mahu Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membuat keputusan berhubung status pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak mendapat biasiswa JPA.
“Kami sedih dan kecewa dengan pembahagian biasiswa yang tidak adil, JPA telah gagal untuk mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan Kabinet,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.
“JPA harus sedar, pelajar yang mendapat keputusan terbaik merupakan aset kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru kata Ahli Parlimen Cameron Highlands itu, pihaknya mahu satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat pengagihan biasiswa itu.
“Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang layak untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pengajian di luar negara tetapi apa yang berlaku permohonan mereka ditolak.
“Ramai pelajar cemerlang telah diberikan biasiswa di peringkat matrikulasi atau diploma sedangkan mereka layak untuk mendapat biasiswa di peringkat ijazah,” katanya.
Justeru jelas Devamany, kriteria pemilihan perlu dikaji semula bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku selain selaras dengan konsep 1 Malaysia dan transformasi kerajaan.
“Pelajar-pelajar datang berjumpa saya untuk mendapatkan biasiswa, 367 pelajar menemui saya untuk meminta pertolongan.
“Selain itu, 200 pelajar mengadu kepada saya kriteria pemilihan JPA tidak adil, 167 pelajar tidak diterima memasuki matrikulasi walaupun mendapat 6A dan 7A, kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga miskin dan miskin tegas,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MIC S. Murugessan pula berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar yang gagal mendapat biasiswa JPA walaupun layak.
“Aduan-aduan ini telah dihantar kepada timbalan menteri MIC untuk diambil perhatian segera.
“Kita juga meminta mana-mana pelajar dengan keputusan 9A ke atas tetapi tidak ditawarkan biasiswa JPA boleh menghubungi kami sebelum Isnin ini melalui e-mel atau menghantar dokumen kepada ibu pejabat MIC,” katanya.
Pelajar-pelajar boleh menghantar maklumat melalui e-mel di alamat spmresult@mic.org.my atau terus menghantarnya ke ibu pejabat MIC di alamat MIC Headquarters, No.1, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (03-40424377).
Dalam pada itu, dipetik Bernama Online, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mahu JPA supaya lebih telus dengan menyenaraikan semua nama calon yang telah berjaya dipilih mendapatkan pembiayaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian mereka sama ada di dalam atau luar negara.
Kata beliau, perkara itu penting bagi mengelakkan pertikaian dan kekeliruan yang timbul di kalangan pelajar cemerlang yang layak memohon mengikut syarat dan kriteria ditetapkan kerajaan.
“Pendekatan lebih telus perlu dibuat di mana selepas pemilihan, penamaan harus disenaraikan dengan jelas selain mendedahkan kategori dan kriteria yang melayakkan calon terbabit menerusi Internet.
“Perkara seperti ini setiap tahun akan timbul dan kita berharap pihak JPA mengambil perhatian sewajarnya... lakukan penambahbaikan supaya tidak berulang lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan