Selasa, 31 Mei 2011

KEADILAN failkan permohonan mahkamah halang ROS

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini akan memfailkan permohonan di mahkamah bagi menghalang Pendaftar Pertubuhan (ROS) daripada membatalkan pendaftaran parti itu.

Menurut Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran, permohonan itu akan difailkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada petang ini.

“Hari ini kita akan failkan permohonan menghalang ROS daripada membatalkan pendaftaran KEADILAN.

“Permohonan ini dibuat ekoran kita menerima notis yang bertarikh 9 Mei daripada ROS yang menyatakan pendaftaran KEADILAN akan dibatalkan selepas 9 Jun,” kata Surendran ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Katanya, antara barisan peguam yang mewakili KEADILAN bagi memfailkan permohonan tersebut terdiri daripada Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah dan Latheefa Koya yang mewakili Lawyers for Liberty (LFL).

“Saya akan bersama peguam Sivarasa dan Latheefa memfailkan permohonan tersebut hari ini,” kata beliau.

Dilaporkan sebelum ini, notis bertarikh 9 Mei 2011 itu ditandatangani Datuk Abdul Rahman Othman dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 yang mengancam untuk membatalkan pendaftaran KEADILAN selepas 9 Jun 2011.

Ia dikirim menerusi pos berdaftar dengan salinan turut dihantar kepada Presiden dan Bendahari Agung, menyatakan pendaftaran KEADILAN akan dibatal selepas 9 Jun, melainkan parti itu menyatakan sebab.

Tiada ulasan: