TERKINI
Oleh : Syed Putra dan Latifah Kasmuri
KUALA LUMPUR — Pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyifatkan pemilihan parti Islam itu kali ini paling sengit berbanding pertandingan-pertandingan sebelum ini.
Ini kerana jelas beliau, jawatan-jawatan yang dipertandingkan termasuk barisan kepimpinan tertinggi menyaksikan persainga sengit dengan hampir kesemua jawatan disaingi.
Pada pemilihan kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru untuk jawatan timbalan presiden dan enam penjuru bagi naib presiden.
Calon yang akan bertanding untuk jawatan nombor dua parti adalah penyandangnya Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja Mohamad Sabu.
Untuk jawatan naib presiden, selain dua penyandang Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, empat pemimpin lain yang turut bertanding adalah ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ketua Penerangan Idris Ahmad dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.
Pada pemilihan 2009, saingan timbalan presiden menyaksikan pertarungan tiga penjuru manakala naib presiden pula lima penjuru.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden yang disandang sejak 2002.
“Ya, saya setuju ... persaingan paling sengit tahun ini sebab banyak nama-nama besar yang bertanding seperti Nizar yang paling popular.
“Selain itu, kita ada Datuk Mahfuz, Salahuddin, Husam, Datuk Mohd Amar dan Idris... walaupun sengit tapi saya tidak bimbang sebab perwakilan ini ada akhlak dan bijak buat keputusan,” kata Abdul Halim pada sidang media mengumumkan senarai calon yang mengesahkan menyertai pertandingan pada pemilihan parti itu.
Beliau juga menafikan akan wujud kompromi antara perwakilan yang akan mengundi nanti.
“Tidak mungkin, sebab perwakilan ini dari seluruh negara dan kita tidak tahu siapa mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu juga berkata setiap calon boleh berkempen tetapi dengan syarat ia mesti mematuhi tatatertib yang ditetapkan parti.
Fasal 82 Perlembagaan PAS menyebut “semua ahli hendaklah taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS, taat dan patut kepada perlembagaan parti serta aturan dan peraturanya, taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti dan melaksanakan kewajiban yang ditugaskan oleh parti sedaya upaya yang boleh.”
Selain itu, setiap ahli juga harus menjaga dengan cermat segala rahsia parti, mengamal akhlak Islam, mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan parti dan menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam bagi dirinya di negara ini.
Pada sidang media itu juga, Abdul Halim berkata, mana-mana calon masih boleh menarik diri dengan memaklumkan kepada jawatankuasa pemilihan.
“Calon masih boleh tarik diri tapi nama mereka tidak akan dipadamkan (dalam kertas undi), tapi kita akan maklumkan kepada perwakilan sebelum pengundian (jika ada calon menarik diri).
“Selain itu sebelum pengundian dijalankan kita akan beri taklimat kepada perwakilan (tentang cara pengundian), contoh kertas undi rosak jika perwakilan pangkah lebih daripada yang diperlukan,” katanya.
Bagaimanapun beliau percaya calon-calon yang sudah mengesahkan akan bertanding tidak akan berubah fikiran.
“Masing-masing sudah sahkan akan bertanding, tak akan dalam masa dua hari mereka boleh berubah fikiran tapi kalau berlaku tarik diri mesti ada hitam putih, cakap mulut kita tidak terima,” katanya.
Abdul Halim juga berkata pada pemilihan kali ini semua kertas undi mempunyai cop rasmi supaya tidak berlaku kertas undi bocor.
“Kali ini semua kertas undi akan ada cop rasmi mana yang tidak ada cop rasmi tidak dikira sebagai kertas undi yang sah.
“Kertas undi yang ada cop rasmi ini yang akan dipangkah perwakilan,” katanya sambil menambah inisiatif itu adalah idea Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Tambah beliau, seramai 30 petugas jawatankuasa pemilihan akan memantau proses pemilihan nanti.
Untuk jawatan ketua Pemuda PAS, penyandangnya Nasrudin Hasan at-Tantawi menang tanpa bertanding manakala jawatan nombor dua sayap parti Islam itu menyaksikan pertarungan empat penjuru antara penyandangnya Azman Shapawi Abd Rani, Pengarah Pilihan Raya Mohd Firdaus Jaafar (Ahli Parlimen Jerai), Ketua Penerangan Suhaizan Kaiat dan ahli jawatankuasa Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, untuk naib ketua Pemuda PAS pula menyaksikan pertembungan antara Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria dan Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob.
Selain itu, teka-teki calon yang akan bertanding jawatan ketua Muslimat PAS akhirnya terjawab yang mana penyandangnya Nuridah Salleh akan dicabar Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.
Jawatan timbalan ketua Muslimat pula menyaksikan pertarungan antara Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Siti Mahmud dan Wan Hasrina Wan Hassan.
Naib ketua Muslimat pula menyaksikan seramai empat calon mengesahkan menyertai pertandingan iaitu Mastura Mohamad, Mumtaz Md Nawi, Najihatussalehah Ahmad dan Normala Sudirman.
Dalam pada itu, kepimpinan Dewan Ulama PAS menyaksikan tiada cabaran bagi kesemua jawatan.
Pun begitu, pengumuman calon yang menang hanya akan diumumkan pada pemilihan sayap PAS itu, 2 Jun ini.
“Untuk jawatan dalam Dewan Ulama, semua menang tanpa bertanding dan kita akan umumkan pada pemilihan nanti,” katanya.
CALON JAWATAN UTAMA PUSAT
Presiden PAS
- Datuk Seri Abdul Hadi Awang (menang tanpa bertanding)
Timbalan Presiden PAS
- Mohamad Sabu
- Nasharudin Mat Isa (penyandang)
- Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
- Datuk Husam Musa
- Idris Ahmad
- Datuk Mahfuz Omar (penyandang)
- Datuk Mohd Amar Abdullah
- Datuk Seri Nizar Jamaluddin
- Salahudin Ayub (penyandang)
CALON DEWAN PEMUDA
Ketua Pemuda PAS
- Nasrudin Hasan at-Tantawi (menang tanpa bertanding)
Timbalan Ketua Pemuda PAS
- Azman Shapawi Abd Rani (penyandang)
- Mohd Firdaus Jaafar
- Nik Abduh Nik Abdul Aziz
- Suhaizan Kaiat
Naib Ketua Pemuda PAS
- Mohd Nasir Zakaria
- Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob
CALON DEWAN MUSLIMAT
Ketua Muslimat PAS
- Nuridah Mohd Salleh (penyandang)
- Siti Zailah Mohd Yusoff
Timbalan Ketua Muslimat PAS
- Dr Siti Mariah Mahmud
- Wan Hasrina Wan Hassan
Naib Ketua Muslimat PAS
- Mastura Mohamad
- Mumtaz Md Nawi (penyandang)
- Najihatussalehah Ahmad
- Normala Sudirma
n
Tiada ulasan:
Catat Ulasan