Selasa, 31 Mei 2011

Mayat Bayi Baru Lahir Ditemui Di Sungai Gombak

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di tepi Sungai Gombak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa di sini pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Zulkarnain Abdul Rahman berkata bayi, yang sudah dipotong tali pusat, ditemui di celah-celah batu di tepi Sungai Gombak oleh seorang awam yang terlihat bayi itu semasa berada di stesen berkenaan pada pukul 9 pagi ini.

"Ketika ditemui, bayi berkenaan tidak dibaluti kain. Berdasarkan siasatan, kita (polis) percaya bayi berkenaan telah dibuang di tempat lain dan hanyut sebelum tersangkut di celah-celah batu di situ.

"Bayi tersebut dipercayai telah dibuang suspek ke dalam sungai berkenaan kurang dari tempoh 24 jam ekoran keadaan mayat yang masih elok," katanya ketika dihubungi Selasa.

Zulkarnain berkata polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab membuang bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini menghubungi talian 03-20702222," katanya.

Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Tiada ulasan: