Selasa, 31 Mei 2011

Hakim beri plaintif, defendan tiga bulan runding kes tanah wakaf Chenderong


KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Syariah memberi tiga bulan dan menasihatkan plaintif dan defendan mengadakan rundingan bagi mencari penyelesaian kes tuntutan mencabar status konsesi tanah wakaf Chenderong lebih 25,000 hektar — keluasannya hampir sama dengan bahagian pulau negeri Pulau Pinang.

The Malaysian Insider difahamkan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, Datuk Ismail Yahya mahu melihat kedua-dua pihak mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mengemukakan cadangan penyelesaian jika ada untuk dilaksanakan di bawah penyeliaan mahkamah.

“Mahkamah beri tempoh hingga awal September 2011 untuk diadakan perbincangan bersama pihak-pihak yang terlibat dalam tuntutan ini,” kata sumber yang mengikuti prosiding itu di Kuala Terengganu semalam.

Kes itu dijadual untuk didengar di hadapan Ismail yang juga ketua hakim Mahkamah Syariah Terengganu selama dua hari bermula semalam.

“Hakim sarankan plaintif berbincang dengan defendan dan peguam dan pihak terbabit serahkan laporan kepada hakim pada 11 September ini, dan jika tiada penyelesaian, maka akan ada perbicaraan penuh... jadi kedua-dua pihak setuju untuk berbincang dan kemukakan cadangan kepada mahkamah,” katanya.

Kedua-dua plaintif dan defendan dibolehkan bertemu dengan hakim kes jika memerlukan panduan dan nasihat sepanjang rundingan diadakan.

Kes itu sebelum ini didengar oleh Hakim Shaikh Ahmad Ismail, yang Julai lalu menangguhkan kes sehingga awal tahun ini.

Perbicaraan ini menarik perhatian kerana ia dilihat sebagai kes pertama melibatkan tanah wakaf tunggal terluas di negara ini iaitu 25,379.23 hektar.

Tanah itu yang dikurniakan oleh Sultan Terengganu Almarhum Sultan Zainal Abidin III kepada anakanda perempuan Tengku Nik Maimunah dan suaminya, Tengku Ngah Omar Abdul Rahim Mac 1906, dijadikan tanah wakaf pada 1961.

Tuntutan kes difailkan pada Disember 2008 dan tertangguh selepas beberapa peringkat bantahan awal.

Plaintif diwakili oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Pawancheek Merican.

Kes ini dibawa selepas pewaris konsesi tanah wakaf Chenderong ini, yang terletak di sempadan Kemaman dan Kuantan, tidak puas hati dengan cara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu menguruskan tanah tersebut.

Pasukan peguam defendan diketuai oleh Faridah Yusof.

Jumlah pewaris dianggarkan 462 orang, yang hampir kesemuanya merupakan anggota kerabat diraja negeri Terengganu.

Plaintif memohon mahkamah membuat deklarasi bahawa kesemua transaksi berhubung tanah wakaf Chenderong oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu adalah tidak sah di bawah hukum syarak.

Kes ini kali pertama difailkan pada Disember 2008 berdasarkan Seksyen 18(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Tiada ulasan: