Selasa, 31 Mei 2011

Sambutan Hari Belia: Happy birthday KBS!

Hari Belia jatuh pada tarikh 15 Mei setiap tahun sempena penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bukan kerana sebarang signifikasi dengan belia.



Oleh Syaruzaimi Yusuf

Laporan akhbar yang menyatakan bahawa kumpulan superstar dari Korea Selatan, Super Junior M akan dibawa masuk untuk menghiburkan anak-anak muda di Malaysia sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 telah menarik minat saya untuk untuk menulis artikel ini.

Sebagai seorang yang boleh dikategorikan sebagai belia di negara tercinta ini, tidak malu untuk saya katakan bahawa saya tidak tahu sejarah dan latar belakang Hari Belia di negara kita.

Malah, mengapa tarikh 15 Mei dipilih sebagai tarikh rasmi Hari Belia Negara masih menjadi misteri bagi saya. Apa yang saya tahu, setiap kali menjelangnya tarikh “keramat” tersebut, sambutan besar-besaran untuk meraikannya akan diadakan.

Sekiranya disingkap sejarah penubuhan hari belia di beberapa negara lain, secara langsung dapat kita lihat signifikasinya kenapa tarikh tersebut dipilih atau apakah peranan belia dalam memenuhi semangat hari belia.

Sebagai contoh, di China tarikh 4 Mei telah dipilih sebagai hari anak muda sempena memperingati ‘May Fourth Movement’ iaitu suatu peristiwa besar revolusi budaya dan politik anti imperialis di negara tersebut pada tahun 1919.

Pada tarikh tersebut, anak-anak muda mereka keluar memprotes respon lemah kerajaan China terhadap “Treaty of Versailles” dan secara tidak langsung, peristiwa itu menjadi simbolik kepada penubuhan hari belia negara China.

Di Venuezela pula, 12 Februari telah dipilih sebagai Hari Anak Muda bagi mengenang anak muda yang gugur dalam “Battle of La Victoria” semasa Peperangan Kemerdekaan Venuezela pada tarikh yang sama tahun 1814.

Secara dasarnya, tarikh tersebut dipilih sebagai memperingati jasa perajurit-perajurit muda yang sanggup berkorban demi kemerdekaan tanahair mereka.

Manakala di Iran, Hari Anak Muda menjadi sambutan berunsurkan keagamaan kerana ia dirayakan setiap 11 Sha’ban sempena hari kelahiran Hazrat e Alie Akbar, anak sulung Saiyidina Hussein iaitu cucunda Rasulullah S.A.W. dari nasab Saiyiditina Fatimah dan Saiyidina Ali sebagai memperingati keberanian beliau semasa peristiwa Karbala.

Di Afrika Selatan pula, Hari Anak Muda jatuh tanggal 16 Jun, diambil sempena hari bermulanya “Soweto riots” 1976 yang merupakan peristiwa penting dalam perjuangan anti apartheid.

Tanggal 12 Januari pula menjadi pilihan untuk sambutan “Youth Day” di India yang diadakan sempena memperingati ulangtahun kelahiran Swami Vivekananda, seorang tokoh falsafah yang banyak menghasilkan karya-karya di mana koleksi tulisan dan syarahan beliau menjadi inspirasi kepada belia di India sekaligus menggalakkan lagi organisasi-organisasi belia untuk terus berjuang demi kebajikan masyarakat.

Bagaimana pula di Malaysia?

Kerajaan telah mengistiharkan Hari Belia Negara jatuh pada tarikh 15 Mei setiap tahun sempena penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dirasmikan pada tahun 1964.

Persoalan yang timbul ialah di manakah jiwa Hari Belia itu sendiri? Oleh kerana rasional sambutan dan objektif pengistiharannya sendiri kabur, kewujudannya adalah jelas sekadar platform untuk memberi hiburan percuma kepada anak-anak muda negara sebagai satu insentif memancing undi Generasi Y, tidak kurang, tidak lebih.

Tanpa sebarang latar belakang perjuangan belia yang jelas, boleh saya katakan penganjuran Hari Belia Negara adalah semata-mata sempena sambutan hari ulangtahun KBS.

Sambutan besar-besaran ini pula telah diserikan lagi dengan persembahan artis antarabangsa kumpulan K-Pop Super Junior M. Saya pasti kos untuk membawa masuk kumpulan dari Korea Selatan ini menelan belanja yang besar.

Namun, fikiran saya buntu memikirkan bagaimana kehadiran kumpulan pop ini dapat membantu belia Malaysia memajukan diri ke hadapan?

Adakah negara sudah ketandusan artis-artis belia tanahair yang mampu menghiburkan para beliawan seperti saya sehingga terpaksa membawa masuk artis antarabangsa yang memakan belanja sejumlah ratusan ribu ringgit atau mungkin jutaan ringgit ini?

Harus kita sedar, sekiranya dihalusi, negara-negara yang meraikan Hari Belia memilih tarikh-tarikh tertentu untuk memperingati jasa anak-anak muda mereka yang berjuang demi negara atau pun memperingati kebangkitan semangat anak-anak muda dalam menentang atau menghalang tindakan kerajaan daripada melaksanakan dasar-dasar yang akan menyebabkan kesempitan hidup bagi rakyat keseluruhan.

Gimik artis antarabangsa

Justeru, hari seperti ini harus disambut sebagai hari yang bersejarah dengan penuh kesedaran serta semangat juang yang tinggi, bukannya seperti “fun fair” atau sekadar konsert percuma untuk hiburan yang tiada makna perjuangan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan gimik kehadiran artis antarabangsa yang dibuat pada kali ini hanyalah sekadar satu usaha kerajaan dalam merealisasikan impian mereka untuk mencapai sasaran satu juta belia.

Tidak keterlaluan juga jika saya katakan anak-anak muda Malaysia hari ini tidak mahu lagi dilayan seperti kanak-kanak kecil yang diupah gula-gula. Mereka menuntut lebih dari itu dalam proses membina negara. Mereka menuntut agar suara mereka didengar dan hasrat atau idea mereke tidak dipinggirkan.

Semangat juang untuk kebenaran dan keadilan sejagat sebenarnya harus dicanai dan dipupuk dalam jiwa setiap belia negara kerana hakikatnya belia mempunyai peranan yang besar dalam menjamin keutuhan demokrasi, kemakmuran yang bersifat inklusif dan pembangunan ekonomi yang mampan.

Sekali lagi, “Happy Birthday KBS”. Jangan bimbang, pada tahun hadapan, sambutan untuk anda akan lebih meriah kerana Perdana Menteri kita telah mengisytiharkan untuk menyambutnya selama satu minggu. Tahniah!

Syaruzaimi Yusof ialah bekas peguam yang kini bertugas di sebuah bank di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: