Sabtu, 14 Mei 2011

PDRM: Pakar AS sahkan video seks tulen

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” Mac lalu, didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah tulen setelah mendapat input pakar pengimejan video Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar.

Bagaimanapun beliau dipetik laporan Utusan Online berkata, tiada keperluan undang-undang untuk mendedahkan pelaku video terbabit.

Khalid mengumumkan perkembangan terbaru itu pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, polis memaklumkan telah mendapatkan khidmat pakar pengimejan video di AS bagi membantu siasatan kes rakaman video seks yang didakwa mirip Anwar.

Polis Diraja Malaysia telah menghantar satu pasukan khas ke AS minggu lalu untuk tujuan analisis rakaman video seks 21 minit, yang didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

“Saya mengesahkan video itu tulen, namun saya tidak mengesahkan pelaku tersebut adalah Anwar,” katanya dipetik Bernama.

Mengulas mengenai individu yang memuat naik rakaman video seks tersebut, Khalid berkata, polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab dalam memuat naik video berkenaan.

Khalid juga mengakui siasatan kes itu kini sudah sampai ke tahap akhir dan laporan dijangka dihantar kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

Katanya, pihaknya juga akan memanggil semua yang terlibat termasuk individu yang memuat naik video untuk diambil keterangan.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh anak perempuan Anwar, Nurul Izzah tentang keluarganya yang menerima ugutan serta pemandu Anwar yang mendakwa keretanya telah dirosakkan, beliau berkata polis akan menyiasat segala laporan yang diterima dengan adil.

“Apa jua ancaman dan laporan akan dijalankan siasatan dengan seadil-adilnya tanpa mengira sesiapa dan fahaman politik mereka,” katanya.

Tiada ulasan: