Sabtu, 14 Mei 2011

Kristian-Islam: Gantung editor, pemberita jika laporan tak benar

TERKINI



KUALA LUMPUR— Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) mahu pemberita dan editor Utusan Malaysia digantung tugas jika laporannya Sabtu lalu mengenai isu Kristian dan agama Islam adalah tidak benar.

Justeru, Presiden MCA berkata teguran yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri semalam ke atas akhbar milik Umno itu tidak mencukupi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata pihaknya telah memanggil Ketua Pengarang Kumpulan Utusan bagi menyerahkan surat teguran kerana menyiarkan berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang didapati menggemparkan fikiran orang ramai.

“Adalah menjadi amalan KDN untuk memanggil dan mendapatkan penjelasan pihak akhbar atas tindakan menyiarkan perkara yang didapati bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984), serta menyerahkan surat teguran ke atas kesalahan tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kementerian itu akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai atau kandungan-kandungan yang bertentangan dengan AMCP 1984.

“Kami berharap polis akan menyiasat dengan terperinci latar belakang tulisan yang disiarkan oleh Utusan, di mana kami dimaklumkan bahawa sesetengah pihak mahu mempolitikkan agama demi kepentingan politik.

“Jika tulisan itu tiada sebarang asas, kama kami merasakan pihak-pihak yang bertanggungjawab di Utusan perlu digantung sebagai amaran bahawa kerajaan akan memegang mereka yang mahu mempolitikkan isu-isu agama, bertanggungjawab,” kata Chua.

Kata beliau, tidak harus ada andaian bahawa laporan-laporan itu tidak berasas dan jika dakwaan itu benar, mereka yang bertanggungjawab harus disiasat dan didedahkan.

“Kami berharap bahawa dalam isu ini, kerajaan tidak akan berkompromi dan harus menegakkan keadilan dan menghantar mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia bahawa agama tidak harus digunakan dalam pertarungan politik.

“Orang yang menulis berita terbabit termasuk editor harus digantung kerana menulis laporan palsu atau mencetuskan sensasi, yang tiada asas,” katanya lagi.

“Jika benar, maka orang di sebalik kepada semua ini harus berhadapan dengan tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata, partinya juga kecewa kerana tiada tindakan tegas diambil terhadap Utusan Malaysia kerana menyiarkan tulisan “Kristian Agama Rasmi?”

Mah berkata, “banyak pemimpin NGO telah menelefon saya untuk mengadu bahawa surat teguran yang dikeluarkan terlalu ringan berbanding keseriusan masalah.”

“Artikel macam ini mewujudkan ketegangan dan mencetuskan tidak harmoni,” kata beliau.

Mah berkata baru-baru ini editor China Press digantung tugas selama dua minggu berhubung pemberitaan yang tidak betul.

“Meskipun kes China Press adalah berkaitan dengan salah lapor, ia bukan perkara serius mengancam keselamatan negara, tetapi editornya digantung ibarat tidak disiplin,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Gerakan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan serius jika Utusan Malaysia tidak mengambil peduli surat teguran yang diberikan dan terus menerbitkan artikel-artikel tidak tepat.

“Insiden sedemikian tidak seharusnya dibenar berulang lagi,” katanya lagi.

Tiada ulasan: