Ahad, 15 Mei 2011

Pakatan Rakyat tidak mengkayakan pemimpin

Fakhri Ali


TASEK GELUGOR: Pakatan Rakyat (PR) bukannya parti untuk mengkayakan pemimpin sebaliknya memberi pembelaan dan kesejahteraan kepada rakyat.

"Apabila melihat Barisan Nasional (BN) tidak mampu untuk memberi keselesaan dan menjaga kebajikan majoriti rakyat, maka PR menawarkan diri untuk menjadi pengganti,” kata ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar ketika menyampaikan ceramah di pentas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Pekan Darat, Teluk Air Tawar, malam tadi.

Ini, katanya ditambah dengan pelbagai keburukan, kejelekan, kejahatan dan ketidakwajaran BN untuk mentadbir dengan baik, maka kini sudah sampai masanya untuk rakyat memberi kepercayaan kepada PR untuk menggalas amanah itu.

Tambahnya lagi, sejak tiga tahun yang lalu, pentadbiran semua negeri-negeri yang diterajui kepimpinannya oleh PR telah terbukti mengatasi sistem dan dasar pemerintahan yang dibawa oleh BN selama lebih 53 tahun.

Justeru itu, katanya reformasi yang akan datang adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan bagi menyahkan kepimpinan yang tidak menepati kehendak rakyat dan juga tuntutan agama Islam yang sebenar.

Menurutnya lagi, dengan demikian sama ada ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), semua pemimpin PR akan menjadi hamba untuk membela nasib rakyat.

Katanya, wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) bukan saja menjadikan rakyat sebagai tuan, tetapi memberi kelainan dalam sistem pemerintahan sekiranya berjaya untuk merealisasikan aspirasi untuk menerajui tampuk pemerintahan Pusat nanti.

Tiada ulasan: