Ahad, 8 Mei 2011

Pakatan Rakyat: Islam Agama Rasmi Malaysia

MERDEKA REVIEW


Utusan Malaysia sekali lagi bertindak melampui batas, mereka kini telah menghempas tanggungjawab selaku pengamal media demi tunduknya mereka kepada adikuasa. Amat malang bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan apabila saban hari disogok dengan berita fitnah dan hasutan.

Isu agama rasmi bagi Negara ini menjadi sasaran terbaru aparat pemerintah, manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat. Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ianya merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.

Jelaslah bahawa Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ianya hanya layak menyandang gelaran "Tabloid UMNO" sesuai dengan kenyataan bahawa Parti tersebut merupakan pemegang saham sekaligus merupakan majikan mereka. Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan oleh para pejuang pembebasan tanahair dahulu telah dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini.

Berikut merupakan pernyataan bersama yang dibuat pada 8 September 2008 oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan turut dimuatkan didalam Buku Jingga:-

KENYATAAN AKHBAR
8 September 2008

PAKATAN RAKYAT MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh UMNO akhir-akhir ini. Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar UMNO-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin UMNO Pulau Pinang. Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman UMNO yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang
Melayu.

Sekian, terima kasih.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen
Democratic Action Party (DAP)

HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Tiada ulasan: