KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairan dengan sikap akhbar Umno, Utusan Malaysia yang melaporkan kecaman terhadap Datuk Seri Anwar ekoran dakwaan menggelar Perdana Menteri sebagai 'Pandi kutty'.
Beliau mempersoal, bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan. (Gambar: Laporan muka depan Utusan yang menyiarkan bantahan pandi kutty yang tidakpun ditujukan kepada Najib tetapi tindakan pihak yang tidak betul)
"Saya terbaca tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, "Anwar Dikecam," kononnya kerana guna kata-kata kesat serang Perdana Menteri.
"Hairan saya, akhbar yang menyebarkan segala bentuk kelucahan dalam masyarakat hari ini menjadi juara adab sopan?"katanya di Facebook.
Utusan di muka depannya hari ini meletakkan tajuk 'Anwar dikecam' dengan membawa beberapa pandangan individu membidas sikap Anwar yang didakwa menggelar Datuk Seri Najib dengan gelaran Pandi Kutty.
Antara lain, akhbar Umno itu mengambil pandangan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Bekas Ketua AMK yang menyertai Umno, senator Ezam Mohd Noor.
Najib ketika mengulas laporan itu pula berkata, beliau tetap tidur lena (jenera) walaupun dituduh dengan perkataan itu.
Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, gesaan MCA agar Utusan dipulaukan, sangat tepat.
"Tepat sungguh gesaan MCA agar Utusan Malaysia dipulaukan,"tulisnya lagi.
Sebelum ini, Utusan juga dikecam banyak pihak ekoran tindakan keterlaluan akhbar itu menyiarkan di muka depan laporan serta gambar berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR. Turut dikecam dan dilebelkan sebagai media lucah adalah TV3.
Dalam pada itu, Anwar hari ini menyifatkan serangan terbaru isu Pandi Kutty terhadapnya itu adalah fitnah terbaru Umno BN. (Gambar kanan: Utusan disifatkan akhbar lucah apabila menyiarkan gambar-gambar dari klip video Trio Umno yang mendakwa Anwar adalah pelakunya)
Menurut laporan TV Selangor yang merakam penuh ceramah Anwar di Klang, Sabtu lalu itu, ketua pembangkang itu tidak langsung menghemburkan perkataan itu terhadap Najib.
Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang dimaksudkan di Dewan Hamzah Klang itu apabila perkataan pandi kutty disebut:
"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutty."
Pada ceramah itu juga, Anwar berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin di ceramah bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.
"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” katanya dalam ceramah itu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan