KUALA LUMPUR: Kerajaan BN diminta menangguhkan cadangan untuk mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi di negara ini, bagi mengelakkan rakyat mengalami bebanan lebih berat dengan kenaikan harga barangan yang tersusun. Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini merupakan salah satu petanda buruk dari cadangan mewujudkan makmal itu dan sekiranya diteruskan, pelbagai barangan lain pula pasti turut dinaikkan berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini dari RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram merupakan sesuatu yang amat tidak wajar kerana ia jelas lebih menghimpitkan lagi kehidupan rakyat. Menurut beliau, namun tanpa berfikir panjang, Kerajaan BN telah pun melakukannya, setelah harga petrol RON97 dinaikkan beberapa hari lalu, tetapi harga petrol RON95 tidak pula diturunkan. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri melaung-laungkan negara ini sedang menuju era negara yang berpendapatan tinggi, tetapi rakyat pula sentiasa terbeban dengan kenaikan harga barangan utama. "Jadi apa ertinya itu semua? Macam mana negara ini boleh muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, sedangkan rakyat sentiasa tidak berkecukupan wang, berbelanja lebih dan sentiasa hidup dalam keadaan tertekan ekoran kenaikan harga barangan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini, tegas beliau, pasti akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain nanti yang turut melibatkan gula dan ia pasti akan lebih membebankan rakyat. Tindakan kenaikan harga gula itu diyakini berpunca dari rancangan Kerajaan BN untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat yang kini ternyata amat tidak praktikal, malah amat membebankan rakyat dari pelbagai aspek. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sehubungan itu meminta Kerajaan BN melihat kembali cadangannya untuk mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi itu, dengan mengadakan perbincangan menyeluruh terlebih dahulu dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan rumusannya. Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen dari RM2.70 kepada RM2.90 seliter mulai 5 Mei lalu dan gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai hari ini, berpunca dari masalah kewangan yang dialami oleh Kerajaan BN. "Tetapi ini jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN dalam mengurus kewangan, di samping kegagalannya mencari sumber baru bagi kewangan negara," jelasnya. Bagi mengatasi masalah kewangan negara, katanya, Kerajaan BN tidak sepatutnya membebani rakyat dengan kenaikan harga barangan, tetapi mencari sumber baru. "Jadi, kesemua ini perlu dilihat dan dinilai sendiri oleh rakyat, setelah pelbagai pihak menjadi amat terbeban dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan BN sejak sekian lama," tegas beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan