Rabu, 25 Mei 2011

Hindraf Makkal Shakti bawa kemelut ke mahkamah

Hafiz Yatim

Setiausaha penaja Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Ramesh hari ini memfailkan semakan kehakiman berhubung keenganan kerajaan mendaftarkan Hindraf Makkal Shakti sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

NONERamesh bersama pemimpin Hindraf P Uthayakumar dan M Manoharan, hadir ketika memfailkan permohonan itu di bahagian pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam permohonan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan RoS Wilayah Persekutuan dinamakan sebagai responden.

Ramesh memohon perintah certiorari bagi mengketepikan sebarang keputusan daripada responden untuk menolak permohonannya.

Beliau juga memohon writ mandamus bagi memaksa responden mendaftarkan Hindraf Makkal Shakti dengan RoS dalam tempoh tujuh hari daripada keputusan mahkamah.

Katanya, permohonan itu dibuat berdasarkan hak kebebasan untuk menubuhkan persatuan yang termaktub dalam Artikel 10(1)(C) dan dibaca bersama Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata.

Ramesh turut menuntut satu perintah mandamus mengarahkan responden-responden memutuskan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pertubuhan dan undang-undang supaya membenarkan permohonannya sebagai NGO.

Saman itu difailkan di Pejabat Mahkamah Tinggi menerusi tetuan M Manoharan & Co.

Tiada ulasan: