Rabu, 25 Mei 2011

Kes Teoh: SPRM mohon penangguhan serah hujah

MALAYSIA KINI


Dua daripada tiga anggota yang membantu suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini selesai melaksanakan tugas mereka dengan menyerahkan dokumen hujahan masing-masing.

NONEPegawai Pengendali dan Majlis Peguam menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak urusetia suruhanjaya manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon penangguhan sehingga Jumaat ini untuk berbuat demikian.

Urusetia suruhanjaya itu, Muhamad Bukhari Ab Hamid, berkata peguam SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah (kiri), menghantar surat untuk penangguhan itu petang ini.

Katanya, pegawai pengendali yang terdiri daripada Amerjeet Singh, Kwan Li Sa dan Awang Armadajaya Awang Mahmud menghantar dokumen itu melalui wakilnya manakala Majlis Peguam dihantar sendiri oleh peguam Christopher Leong yang mengendalikan kes, di pejabat urusetia, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Pada 10 Mei lalu, Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, mengarahkan semua pihak menghantar hujahan hari ini selepas selesai memanggil 70 saksi sejak dimulakan prosiding pada 14 Februari lalu.

azlanSementara itu, di luar mahkamah Christopher memberitahu pemberita bahawa beliau tidak gembira dengan tindakan SPRM yang gagal menyerahkan hujahan hari ini dan akan membuat permohonan supaya penyerahan hujahan ditutup.

Katanya, pihak Majlis Peguam menyerahkan dokumen setebal 340 muka surat.

Teoh, 30, Setiausaha Politik EXCO Selangor, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.

azlanSelain Foong, suruhanjaya turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk TS Nathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh, dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Sepanjang bersidang, pelbagai saksi dipanggil termasuk pakar patologi, psikiatri, ahli keluarga dan pegawai SPRM dan terdapat beberapa fakta baru yang tidak didedahkan pada inkues mengenai kematiannya di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.

Anggota suruhanjaya akan menyerahkan hasil siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada 24 Jun ini.


Tiada ulasan: