Khamis, 10 Februari 2011

SPR: Pemilih baru didaftar dijangka dua kali ganda tahun ini


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pendaftaran pengundi-pengundi baru pada tahun ini akan "berganda" berbanding jumlah permohonan yang diterima tahun lalu.

Spekulasi pilihan raya umum ke-13 dan demam pilihan raya negeri Sarawak dijangka akan mempengaruhi peningkatan jumlah permohonan untuk menjadi pengundi baru yang sah tahun ini.

“Berdasarkan prestasi tahun lalu, tahun ini saya menjangkakan ia akan meningkat, akan berganda pada ahun ini,” kata timbalan pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.

“Saya yakin akan ada peningkatan, akan berganda... itu trend yang sentiasa berlaku,” katanya.

Suruhanjaya itu berpandangan sedemikian memandangkan bilangan permohonan baru diterima akan meningkat pada tahun-tahun akhir sebelum pilihan raya.

“Macam ketika menghampiri pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, kita menerima purata 250,000 setiap suku pada tahun-tahun akhir menjelang pilihan raya... kita senang-senang boleh dapat 250,000 secara purata, tapi saya ia boleh meningkat kepada 300,000 setiap suku (pada tahun ini),” kata beliau lagi.

Ramai meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini.

Perangkaan dikeluarkan SPR kelmarin menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu - suku terakhir 2010 — berbanding 246,962 orang antara Julai dan September.

Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi," kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).

Mengulas peningkatan itu, Wan Ahmad berkata, daripada hampir 300,000 yang memohon untuk menjadi pemilih baru, “majoriti berusia di bawah 30 tahun.”

Beliau juga yakin bilangan permohonan akan meningkat tahun ini memandangkan Sarawak bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri dan juga menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Saya yakin kita boleh dapat lebih sejuta pengundi baru tahun ini,” katanya.

Kini ada sekitar empat juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pengundi manakala sekitar 450,000 orang mencapai umur 21 tahun yang membolehkan mereka daftar sebagai pengundi yang sah.

Mengenai sebab peningkatan ketara pendaftaran pengundi baru, Wan Ahmad berkata, ia disebabkan oleh kewujudan penolong pendaftar, yang secara tidak langsung “berluma-luma untuk mencari pengundi baru.”

Kata beliau, ia juga ada kaitan dengan persediaan dan persiapan parti-parti politik yang mahu menambah ahli baru mereka.

Wan Ahmad juga tidak menolak kekerapan pilihan raya kecil sejak Mac 2008 juga menyumbang kepada peningkatan jumlah pendaftaran pemilih baru.

Pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008 akan berlangsung 6 Mac ini.

11 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Sesiapa yang layak tapi masih belum mendaftar, sila daftar segera.

Anak Sabah berkata...

Bukan sukar mahu mendaftar sebagai pengundi. Jalanilah tanggungjawab anda sebagai rakyat.

mandau berkata...

lebih ramai yang mendaftar sebagai pengundi lebih baik kerana ini adalah tanggungjawab kita kepaa negara.

zam berkata...

golongan yang layak mengundi tapi masih belum mendaftar perlu mendaftar dengan segera. ini bagi membolehkan anda menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

zam berkata...

selain itu, SPR perlu menggiatkan lagi usaha untuk memastikan semua golongan yang layak, mendaftar sebagai pemilih.

Hosie Masie berkata...

Semoga mereka menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

nickko berkata...

dengan bilangan penduduk yang semakin ramai, kerajaan sepatutnya melakukan perubahan dengan melaksanakan pendaftaran secara automatik, kerana kaedah itu ternyata lebih efisyen dan efektif dalam proses pendaftaran pemilih baru selain dapat menjimatkan penggunaan duit rakyat dan tenaga kerja.

Paquin berkata...

Daftar lah siapa yang belum mendaftar tu. hehhee

Paquin berkata...

Jom ramai2 kita mengundi parti dan pemimpin yang terbaik utk kita:)

mike berkata...

pastikan yang memohon itu benar2 rakyat malaysia agar mengelak kes dua kerakyatan.

mike berkata...

peningkatan pengundi berdaftar menunjukkan meningkatnya kesedaran akan hak rakyat sebagai pengundi dan penentu masa depan negara..trend ini diharap akan berlanjutan.