SUBANG JAYA - Penguatkuasaan larangan bekerja di premis arak masih belum dilaksanakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan sehingga kini tindakan hanya diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui Enakmen Janayah Syariah Selangor kepada yang melakukan kesalahan.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan berkata, apa yang dikeluarkan pihaknya sebelum ini adalah garis panduan dan peringatan kepada pengusaha pusat hiburan.
Menurutnya, MPSJ belum menjalankan penguatkuasaan seperti yang diperkatakan kerana hanya Jais mempunyai peruntukkan enakmen bagi kesalahn itu.
“Kalau ikut cadangan dan sudah membuat penguatkuasaan, kita tidak benarkan pengusaha ambil pekerja beragama Islam, tetapi kita masih belum laksanakannya lagi.
“Yang dah ambil pekerja ini, ada pilihan lain. Kepada yang terlibat mereka kena fikir, apa pun Jais tetap ambil tindakan kepada pekerja Islam yang menyediakan arak.
Beliau berkata, dari segi jumlah didapati 13 daripada 70 pengusaha pusat hiburan menggaji pekerja Islam.
“Bagi pengusaha yang belum ambil pekerja Islam janganlah pula mereka ambil. Jangan timbulkan masalah.
Adnan berkata, pada kaca mata MPSJ mungkin penguatkuasaan adalah kaedah terbaik, malah ada cara lain boleh dilaksanakan melalui pendidikan.
Menurutnya ada yang mempersoalkan mengapa pihaknya mengadakan kerjasama dengan Jais dalam serbuan di tempat seumpama itu.
Beliau memaklumkan pihaknya bukan sahaja bekerjasama dengan Jais tetapi dengan agensi lain juga seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Imigresen dengan tujuan utama iaitu mencegah perkara terlarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan