Khamis, 17 Februari 2011

Mansuh Isa: Hasrat Mahathir Terlewat

TVS NEWS


SHAH ALAM : Agak terlewat bagi mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatakan hasrat memansuhkan ISA pada masa ini.

Kenyataan itu dijelaskan oleh Presiden Gerakan Mansuh ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Nor.

Beliau yang dihubungi Tv Selangor petang tadi berkata, kepimpinan negara seolah-olah cenderung untuk tunduk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu penahanan tanpa bicara.

"Ini juga menunjukkan bahawa keadaan suasana negara kita dikuasai oleh polis walaupun pemimpin nombor satu negara seolah-olah terpaksa tunduk kepada perkara yang dilakukan oleh polis walaupun ianya salah.

"Saya percaya perkara ini ada kepentingan tertentu menyebabkan mereka (pemimpin) ikut cakap polis. Kalau tidak mengapa begitu mudah mereka akur dan menerima perkara itu sebagai tindakan terbaik," jelas beliau.

Syed Ibrahim berkata, nasihat daripada polis berhubung isu keselamatan negara tidak pernah diketepikan namun tindakan mengabaikan prinsip hak asasi manusia menjadi tentangan banyak pihak.

"Bermakna gerak hati pemimpin negara kita masih tidak terbuka untuk melaksanakan kebenaran. Jadi saya rasa kalau sekarang baru disebutkan oleh Tun Mahathir sangat terlewat," tambah beliau lagi.

Justeru kata beliau, usaha memperjuangkan isu penghapusan ISA perlu diteruskan menerusi pemimpin-pemimpin yang berkesedaran bagi memperkukuh sokongan terhadap eksploitasi kekejaman manusia alaf baru.

Tambahnya, pandangan daripada institusi kepimpinan di negara ini amat penting justeru rakyat dapat melihat kewajaran akta tersebut dimansuhkan.

GMI sebelum secara terus mengenakan desakan pemansuhan ISA justeru digantikan dengan akta-akta keselamatan yang termaktub dalam perlembagaan.

Menurut Syed Ibrahim, ISA tidak lagi relevan kini kerana komunis bukan lagi menjadi ancaman utama negara.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut ditanya mengenai "Ops Lalang" pada tahun 1987 yang menyaksikan ratusan individu termasuk Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang ketika itu ke kem Kementah tanpa bicara.

Katanya, adalah mustahil Tun Mahathir Mohamad pada masa itu selaku Perdana Menteri Malaysia tidak berperanan dalam operasi tersebut apatah lagi tidak bersetuju dengan tindakan polis.

"Kalau benar beliau terpaksa tandatangan, saya rasa ini suatu yang amat malang bagi tampuk pemerintahan negara. Maknanya jelas mereka terpaksa tunduk kepada polis. Bagi saya mustahil beliau tidak tahu,"

Jelasnya lagi, ada unsur politik disebalik penahanan individu-individu tersebut selain cubaan menyembunyikan kebenaran daripada rakyat.

Tiada ulasan: