Rabu, 1 September 2010

Selangor peruntuk dana RM70 juta untuk kredit mikro


SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM 70 juta bagi membantu golongan miskin memperolehi dana untuk menjalankan perniagaan melalui skim kredit mikro.

Daripada jumlah itu, RM50 juta akan diperuntukkan untuk masyarakat luar bandar manakala selebihnya akan diberikan kepada masyarakat bandar.

Skim itu merupakan antara mekanisma kerajaan negeri untuk membebaskan golongan ini dari kitaran kemiskinan.

Skim tersebut akan dimulakan di kawasan Sabak Bernam dan menjelang akhir Tahun 2010, skim ini akan diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat,Hulu Langat dan Sepang.

Pada peringkat permulaan, seramai 50 penerima pinjaman akan menerima pembiayaan modal perniagaan sebanyak RM3,000 seorang.

Tempoh bayar balik pinjaman ini hanya akan bermula selepas setahun.

Skim ini tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak akan diheret ke mahkamah.

Namun, penerima pembiayaan ini harus mengadakan mesyuarat setiap minggu untuk memastikan pembayaran balik berjalan lancar tanpa tunggakan.

ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafie menyeru peserta skim ini agar memanfaatkan bantuan kerajaan negeri ini sebaiknya.

Beliau berkata, meskipun pemohonan pembiayaan ini sengaja dipermudahkan untuk mengurangkan karenah birokrasi, pemantauan berkesan mesti dilaksanakan demi memastikan skim ini benar- benar membantu peserta.

“Untuk mempastikan mereka ini berjaya, pemantauan tetap perlu dibuat. terutama dalam proses pembayaran semula” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: