Rabu, 29 September 2010

PERKASA bantah 'Nah!' - bakar gambar Namewee

MALAYSIA KINI


Perkarangan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajala di Kuala Lumpur, malam semalam menjadi kecoh dengan kehadiran kira-kira 50 orang anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bagi membantah tindakan Namawee yang melancarkan albumnya.

Mereka dilihat tiba ke perkarangan dewan itu kira-kira jam 8.45 malam dengan beberapa dari mereka membawa sepanduk PERKASA dan bendera Malaysia serta dan gambar Namawee yang dibakar. Kumpulan itu juga melontarkan kata-kata kesat dan mencarut kepada Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Kira-kira 100 anggota polis termasuk Pasukan Polis Simpanan (FRU) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dilihat mengawal kawasan itu sejak jam 8 malamini.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah yang mengetuai perhimpunan itu dilihat berunding dengan seorang anggota polis untuk memasuki dewan tersebut namun dihalang polis dengan menutup pagar dewan itu.

Mereka kemudiannya meminta polis memanggil Namwee keluar dari dewan itu namun tidak diendahkan. Ini diikuti dengan kata-kata cacian 'Namewee babi' dan 'pengkhianat'.

Arman Azhar yang ditemui pemberita berkata perhimpunan itu diadakan bagi membantah tindakan Namewee yang dianggap penghianat terhadap negara kerana menghasilkan klip-klip video dan album yang boleh mencetuskan kontroversi dan perkauman.

"Kami desak, minta dia (Namawee) minta maaf secara terbuka kepada keseluruhan rakyat Malaysia, bukan sahaja pada orang Melayu, atas perbuatan yang dia lakukan. Ternyata apa yang dia lakukan merosakkan muhibah kaum.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata perhimpunan itu tidak melibatkan penahanan mana-mana pihak kerana mereka mengikut arahan polis supaya bersurai.

"Kita arahkan mereka bersurai dalam masa 40 minit, dan mereka akur," katanya.

Namewee, sebelum itu berucap pada kira-kira 600 hadirin pada persidangan belia yang berjudul 'Belia, mengapa anda memerlukan 'Nah'?

'Nah' adalah tajuk video terbarunya yang menyentuh mengenai isu perkauman di negara ini yang membabitkan pengetua yang menghamburkan kata-kata perkauman kepada masyarkat Cina dan India. Bagaimanapun bahasa yang digunakan dalam videonya itu dikatakan tidak sesuai.

Pada jam 9.30 malam, akibat kekecohan di luar dewan itu, pihak penganjur memutuskan untuk menamatkan sesi berkenaan.

Mereka kemudiannya menasihatkan para hadirin supaya tenang dan terus balik ke rumah serta tidak bertindakbalas terhadap kumpulan itu.

Sebelum bersurai, Namewee mengambil peluang menandatangani poster dan album untuk peminatnya.

Ditanya wartawan berhubung reaksinya terhada protes anjuran PERKASA itu, Namewee berkata: “Saya tiada komen, saya bukan ahli politik. Tujuan saya ke sini adalah untuk majlis anti-perkauman.”

Soalan: Tetapi mereka datang mencari awak.

Namewee: Itu bukan masalah saya.

Mereka membakar gambar awak?

Bukan urusan saya - mereka bakar gambar saya, bukan saya.

Adakah awak akan memohon maaf seperti yang dituntut oleh PERKASA?

Tidak, mohon maaf bukan isu sebenarnya. Saya datang ke sini bagi membantu menyelesaikan isu perkauman.

Adakah awak takut dengan PERKASA?

Saya tidak takut. Saya percaya polis akan melindungi saya.

Namewee meninggalkan dewan berkenaan pada jam 10 malam dengan diiringi beberapa kereta peminatnya serta dua anggota polis bermotosikal.

15 ulasan:

azman berkata...

pendekatan yang rasional dan bijak perlu diambil dalam menyelesaikan pekara ini agar ianya baik untuk semua pihak. harap isu ini dapat diselesaikan.

Leo berkata...

Ramai orang tetap akan sokong Namawee. Bilakah pihak berkuasa akan menjatuhkan hukuman terhadap 2 guru besar yang racis itu???

Tanpa Nama berkata...

hal ini perlu diselesaikan dgn cara baik, harap kekecohan seperti ini tidak berlaku lagi.

Logop berkata...

Perbuatan Perkasa hanya akan membuat Namawee lebih terkenal lagi.

Tanpa Nama berkata...

adakah tindakan PERKASA menganjurkan perhimpunan, menggunakan perkataan kesat dan membakar gambar Namewee boleh menyelesaikan masalah perkauman di Malaysia?

langsat berkata...

Isu sensetif antara perkauman yang berlaku di negara ini perlu diselesaikan dengan cara baik.

langsat berkata...

Tidak perlulah mengadakan perhimpunan atau bantahan, sebaliknya perbincangan dan penyelesaian yang dilakukan, agar perkara ini tidak berpanjangan.

Unknown berkata...

Siapa yang lebih 'perkauman' sebenarnya?

samm berkata...

isu seperti ini perlu diselesaikan dengan cara baik dan segera. ini bagi mengelakkan isu ini terus berpanjangan.

Unknown berkata...

Perkasa sama macam penunjuk perasaan Indonesia baru-baru ini. adakah perkasa sedar dengan semua ini. Sanggup membuat kecoh untuk membantah album namewee.

orangkampong berkata...

PERKASA kalau nak terkenal pun biarlah kerana perbuatan yang baik dan bukan kerana perbuatan jahat.

Jangan perasan sendiri bahawa rakyat akan sokong mereka. Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan keganasan dan kezaliman yang berlaku di negara ini.

PERKASA jangan pulak jadi ' nasi tambah ' kepada keadaan sekarang !.

Paquin berkata...

Saya tak sokong siapa2 tapi saya rasa Namewee memang popular. He is very creative & talented young man :) hehehhehe

Paquin berkata...

Saya kurang pasti apa yang mencetuskan isu racis. Namun bagi saya apapun yang kita lakukan haruslah berpada-pada. k/kala kebenaran tu menyakitkan so bila membalas sesuatu kritikan pun harus profesional juga. Jangan sampai diri sendiri lebih rasis daripada orang yg didakwa rasis. hehhee
Apapun saya harap hal ni dapat diselesaikan dengan aman. Jangan hanya perkara ni keharmonian Malaysia tergugat!!!

Anak Sabah berkata...

Perbuatan Perkasa ini memang memalukan.

Anak Sabah berkata...

Tindakan mereka membuat demonstrasi dan membakar gambar tidak berbeza dengan tindakan Demo Ganyang Malaysia di Indonesia. Saya yakin kebanyakan rakyat membantah membuat demonstrasi seperti ini.