Rabu, 29 September 2010

Galas: Umno Gua Musang mesyuarat malam ini


umno Oleh Muda Mohd Noor

GUA MUSANG: Umno bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat khas malam ini bagi membincangkan pilihanraya kecil berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Che Hashim Sulaima semalam.

Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak dihadiri oleh ketua bahagian, Tengku Razaleigh Hamzah kerana beliau berada di luar negeri.

Ketua Pemuda bahagian, Bazlan Baharuddin ketika dihubungi berkata, mesyuarat itu akan membincangkan antara lain persiapan jentera parti dan pemilihan calon.

Katanya, mesyuarat itu akan dihadiri oleh semua ketua Pemuda, Wanita dan Puteri dari 24 cawangan Umno di DUN Galas.

"Parti mahu mendengar pandangan akar umbi secara menyeluruh mengenai pilihan kecil ini termasuk aspek persiapan jentera, peruntukan kewangan, logistik dan calon.

"Kita tahu Galas kubu kuat BN, tidak pernah kalah kecuali 2008, yang mana sebabnya tidak jelas hingga sekarang," katanya.

Mengenai pemilihan calon, Bazlan berkata, ia terserah kepada Tengku Razaleigh dan pucuk pimpinan Umno lain.

Bagaimanapun, menurutnya, rata-rata pengundi di Galas mahu calon di kalangan orang muda dan yang boleh sentiasa bersama rakyat.

"Dari tinjauan kita (Umno), mereka mahu calon tempatan, sentiasa turun padang dan sesekali boleh minum bersaam pengundi di kedai kopi," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Gua Musang, Wan Saufi Wan ismail berkata, Umno sudah bersedia menghafapi pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, tidak ada masalah untuk mendapatkan calon kerana di Galas mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan.

Tarikh pilihan raya kecil itu akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri berkata, seorang pemimpin tempatan akan dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Galas.

Tiada ulasan: