Khamis, 30 September 2010

Tiup api perkauman, PAS gesa mansuh BTN

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Biro Tata Negara (BTN) yang menjadi gelanggang untuk meniupkan api perkauman di negara ini dimansuhkan.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta memberikan pandangan mengenai laporan sebuah portal online yang menyiarkan kenyataan berbaur perkauman oleh Timbalan Pengarah BTN, Hamim Husin dalam satu sesi agensi itu.

Hamim didakwa melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si mata sepet’ dan ‘si kaki botol’ yang turun naik Batu Caves semasa sesi tertutupnya dengan Puteri Umno, Isnin lalu.

Menurut Mahfuz, BTN yang asalnya ditubuhkan pada tahun 1974 itu sudah tidak diperlukan lagi kerana gagal melaksanakan visinya memupuk semangat patriotisme dan nilai-nilai murni serta menjadikan rakyat setia kepada negara.

"Sudah sampai masanya kerajaan memansuhkan BTN bukan sekadar dirombak, kerana agensi itu telah disalahgunakan untuk meniup api perkauman di dalam negara ini dan ianya bukan perkara baru tapi telah berlaku sejak awal penubuhannya.

"Perlaksanaan BTN ini bermotif untuk menyemarakkan semangat Melayu sama seperti yang dibawa Umno dan ini jelas bertentangan dan menyimpang dari dasar serta matlamat rukunegara iaitu mewujudkan perpaduan di antara kaum dalam negara kita," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak harus dipertanggungjawabkan dalam isu itu memandangkan BTN berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diterajuinya.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar turut berkongsi pandangan yang sama berkaitan isu tersebut dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang boleh menggugat kestabilan dan perpaduan kaum dalam negara ini.

"Belum pun reda isu pengetua rasis, timbul pula isu Timbalan Pengarah BTN rasis. Kerajaan harus ambil tindakan segera menyekat isu-isu perkauman seperti ini kerana kita tidak mahu perpaduan kaum tergugat.

"Dan jangan pula nanti kerajaan kata, tak ada kuasa untuk ambil tindakan ke atas pegawai kerajaan bergred tinggi seperti apa yang berlaku ketika timbul isu pengetua sekolah baru-baru ini," katanya.

Tiada ulasan: