Selasa, 28 September 2010

SPR Belum Tetap Tarikh Mesyuarat Pilihan Raya Kecil Galas


TV SELANGOR

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Galas perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman akibat barah usus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

"Apabila SPR terima notis rasmi, baru kita akan adakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Galas. Pilihan raya kecil perlu diadakan memandangkan ia belum sampai tempoh tiga tahun daripada tarikh pilihan raya umum yang lepas.

"Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas Mei tahun depan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Che Hashim, 46, yang dimasukkan ke Hospital Al-Islam di sini sejak dua hari lepas meninggal dunia kira-kira 4.30 petang tadi.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim (PAS) berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh. Sementara itu, di RANTAU PANJANG, Speaker DUN Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau akan menulis surat kepada SPR sebaik menerima sijil kematian Allahyarham.

"Sebagaimana biasa laporan bertulis akan dibuat secepat mungkin sebaik menerima laporan kematian dari pihak keluarga atau pihak berwajib.

"Kita tunggu sijil kematian Allahyarham sebelum menulis surat kepada SPRM bagi menyatakan kekosongan DUN Galas," katanya.

Tiada ulasan: