Khamis, 30 September 2010

Umno Tolak Saranan PAS Agar Tidak Sertai Pilihan Raya Kecil DUN Galas

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Umno tidak akan termakan umpan PAS supaya parti itu tidak menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas yang bakal diadakan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Walaupun Pas cadang Umno jangan sertai, tapi kita tidak makan kail yang dihulurkan, kita akan sertai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini supaya Umno tidak menyertai pilihan raya kecil DUN Galas.

Ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Negara di sini hari ini, Zahid berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) yakin dengan pengundi baru untuk memenangi semula kerusi terbabit yang sebelum ini dipegang PAS.

Takiyuddin dilaporkan berkata cadangan itu atas nama perpaduan Melayu dan Umno seharusnya membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu dengan tidak bertanding di DUN itu nanti.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS kerana barah usus, tiga hari lalu di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Tiada ulasan: