Khamis, 30 September 2010

Permit penerbitan: Malaysiakini saman kerajaan

MALAYSIA KINI


Tindakan kerajaan menolak permohonan permit bagi menerbitkan akhbar oleh Malaysiakini akan dicabar di mahkamah.

Malaysiakini - yang memfokus isu politik, rasuah dan isu sosial - memfaikan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mencabar tindakan Kementerian dalam Negeri yang menolak permohonannya.
Laman sesawang berita perintis itu adalah saluran utama bagi rakyat mendapatkan maklumat utama sejak sedekad yang lalu berikutan sebahagian besar akhbar utama dan stesen penyiaran dikuasai oleh kerajaan.

“Saya tidak lihat mengapa kami tidak dibenarkan menerbitkan sebuah akhbar,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran (kanan) kepada AFP.

"Ia adalah hak perlembagaan dan Malaysiakini telah berada sejak sepuluh tahun lalu dan kami telah membuktikan bahawa kami mempunyai rekod sebagai laman berita yang bebas, seimbang dan kredible.”

Semua akhbar di Malaysia memerlukan permit yang perlu diperbaharui setiap tahun.

Sistem perlesenan memperuntukkan kerajaan menutup syarikat media di negara ini mengikut budi bicaranya dan meletakkan tekanan ke atas penerbit supaya mematuhi arahannya.

Bagiamanapun, Malaysiakini dan beberapa media online berjaya kekal bebas - di sebalik serbuan dari semasa ke semasa, larangan dan bidasan kerajaan - kerana pada pertengahan 90an kerajaan berikrar tidak akan membuat penapisan atau sekatan di internet untuk menarik pelabur asing.

Chandran berkata Malaysiakini, yang mempunyai 1.8 juta pembaca setiap bulan ingin melancarkan akhbar sendiri bagi mencapai lebih ramai pembaca. Operasi di laman sesawang portal berita itu tidak terjejas dengan keputusan kementerian berkenaan.

"Ini adalah petanda bahawa tiada perubahaan (oleh kerajaan). Ini adalah polisi yang berterusan bagi mengenakan kawalan ketat ke atas media cetak dan penyiaran,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara tahun lalu telah memberi jaminan untuk mengamalkan dasar yang lebih terbuka dan telus tetapi sehingga hari ini, ia dilihat lebih berusaha melenyapkan pengkritiknya.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri gagal dihubungi untuk ulasan tetapi dalam sepucuk suratnya bertarikh 19 Ogos lalu kepada Malaysiakini berkata “kementerian telah mengambil keputusan untuk tidak mempertimbangkan permohonan permit penerbitan”. Tiada alasan yang diberikan.

1 ulasan:

orangkampong berkata...

Kenapalah susah sangat kerajaan nak luluskan permit Malaysia Kini tu...Majalah-majalah lucah yang bertaburan , boleh senang-senang pulak dapat permit !.

Patut diingat, bahan bacaan boleh membentuk kelakuan dan sikap pembacanya, terutama kalangan muda mudi yang mentah berfikir .