SHAH ALAM : Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari mengalahkan pesaingnya, Rodziah Ismail dengan kelebihan 300 undi.
Daripada kira-kira 800 ahli yang membuang undi, Dr Yaakob memperoleh lebih 500 undi berbanding Rodziah sekitar 200 undi.
Bagi jawatan sayap parti cabang itu, Hisham Shariman mengalah Ajah Maidin dengan majoriti 31 undi bagi kerusi ketua Angkatan Muda Keadilan manakala Dr Daroyah Alwi menang sekali gus mempertahan jawatannya sebagai ketua wanita.
Cabang Shah Alam mempunyai 5,400 ahli.
SHAH ALAM 26 SEPT: Dua Exco Selangor yang bersaing jawatan ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam, berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada calon yang menang pada pemilihan peringkat cabang itu.
Rodziah Ismail dan Yaakob Sapari, kedua-duanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor juga gembira dengan proses demokrasi yang dijalankan secara berhemah selain memantapkan lagi jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
"Saya mengharapkan hari ini, siapapun menang insya-Allah kita bersama dalam misi yang akan datang untuk menawan Putrajaya," kata Rodziah kepada TV Selangor ketika proses pengundian berlangsung.
Kira-kira 730 ahli membuang undi di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19 yang proses demikian berakhir kira-kira jam 5.30 petang.
Pengundian bermula sekitar jam 11.15 pagi berikutan kertas undian lambat tiba manakala proses pengiraan undi bermula jam 6 petang dan pemenang bakal diketahui seawal jam 9 malam.
Cabang PKR Shah Alam memiliki 5,024 ahli berdaftar yang menyaksikan pertembungan antara dua exco dan tokoh kepimpinan negeri Selangor sebagai ketua cabang.
Pemilihan itu bakal menentukan pucuk pimpinan cabang termasuk sayap parti,Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan 15 Ahli Jawatankuasa peringkat cabang bagi 2010 hingga 2013.
Cabang itu sebulat suara mencalonkan calon pilihan mereka bagi pemilihan calon peringkat tertinggi dengan mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Presiden dan Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Timbalan Presiden.
Bagi jawatan naib presiden pula, cabang berkenaan mencalonkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, Pengarah Strategik, Tian Chua dan Pengarah Pilihan Raya, Fuziah Salleh.
Dalam pada itu, wakil Jawatankuasa Pengundian Pusat (JPP), Ishak Saad yakin masalah yang dihadapi akan dibaiki pada masa depan.
"Saya rasa ada kesilapan yang tidak disedari JPP dan kita akan diperbetul. Ini berlaku kerana buat julung kali berlaku pemilihan seumpama ini," katanya. (Radzi Razak)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan