Isnin, 27 September 2010

Maaf, makanan licin di majlis raya Dr Halimah

Harakahdaily

KLANG: "Minta maaf makanan licin. Saya sendiri tidak sempat merasanya sedikit pun," kata Dr Halimah Ali, Exco kerajaan negeri Selangor mengulas kedatangan yang terlalu ramai ke majlis hari raya anjuran beliau semalam.

"Sambutan teramat luar biasa. Sesak, di dalam, di luar dewan dan di jalan raya. Memang makanan habis langsung. Saya tak rasa langsung. Tapi semua happy," kata Dr Halimah kepada Harakahdaily bagi mengulas majlis yang mendapat sambutan luar biasa semalam.

(Maaf...tunggu sekejap ye...makanan habis)

Dr Halimah, Adun Selat Klang menganjurkan majlis Aidil Fitri di Dewan Orang Ramai Teluk Pulai dekat sini semalam. Orang ramai mulai memenuhi dewan itu sejak jam 1.30 tengahari walaupun majlis sebenarnya bermula jam 2.00 petang.

1000 sampul duit raya yang disediakan untuk kanak-kanak yang datang habis, kata Dr Halimah lagi.

Turut memeriahkan majlis adalah maskot Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Alif dan Anis di samping persembahan nasyid Urdu oleh qari Bangladesh yang berduet dengan Ustaz Mahfuz al Hafiz.

Antara tetamu yang hadir adalah CEO PKNS, Pengerusi Majlis Sukan Negeri, Presiden Inpens, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang dan lain-lain.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan," kata Dr Halimah kepada semua yang hadir semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis MPK, Jamuliddin Elias yang menjadi penganjur bersama majlis ini berkata, bekalan makanan terhenti sekejap apabila hujan turun dengan lebat semasa majlis itu berjalan.

(Orang ramai berdoa dalam keadaan bersesak di Dewan Teluk Pulai)

"Alhamdulillah makanan back up ada, lemang ,otak-otak dan Kuay Char Teaw goreng. Tetapi kerana hujan ribut, khemah terangkat dan ada yg patah tiang, terbantut persiapan. Lepas hujan reda, alhamdulilah makanan dapat disiapkan," kata Jamal.

Beliau berkata, mereka menjangka pengunjung sekitar 5,000 orang tetapi yang datang lebih 8,000.

"Sebab itu peralatan backup habis dan pinggan mangkok terpaksa dibasuh enam kali yang sepatutnya 3 kali jer. Semua bekas polystren habis," beritahu Jamal.

Bagi beliau, kedatangan dan sambutan yang baik ini lambang sambutan dan sokongan rakyat terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan: