Khairul Azlam Mohmad |
KUALA TERENGGANU: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai orang yang bijak berpolitik menjelang pilihan raya kecil Dun Galas. “Saya rasa Tengku Razaleigh orang yang bijak berpolitik. Biasanya, dia pandang pada suasana dan realiti,” ujarnya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di sini, hari ini. Beliau pada umumnya melihat ramai tokoh veteran Umno kini sudah bersama-sama dengan PAS khususnya dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Ini, katanya kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada Umno. Begitupun, beliau tidak menafikan pengaruh Razaleigh sebab Dun Galas termasuk dalam kawasan parlimen Gua Musang yang merupakan kubu Umno. “Tetapi Tengku Razaleigh sendiri pun insya Allah, akan memberi sokongan kepada calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas akan datang ini,” ujarnya. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menaruh harapan para pengundi bertambah yakin kepada PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas nanti walaupun pertama kali PAS menang di situ pada pilihan raya umum lalu. “Saya rasa selepas kita menang ini, perkhidmatan wakil rakyat itu orang boleh kenal, khususnya wakil rakyat PAS (Allahyarham Chek Hashim) berkhidmat dengan baik di sana (Galas) dan kerajaan negeri Kelantan pun memberi suatu perkhidmatan yang baik,” katanya. Ini, katanya akan menambahkan keyakinan para pengundi kepada PAS. “Insya Allah, kita akan sama-sama mempertahankan Dun Galas sehingga kekal menjadi milik PAS dalam pilihan raya kecil akan datang. Kita harap dapat majoriti yang lebih besar, insya Allah,” ujarnya. Beliau turut mengalu-alukan jika Umno tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dun itu kerana parti itu sudah tidak berfungsi di Kelantan. “Saya tidak mengharapkan (Umno tidak bertanding) tetapi jika Umno BN tidak mahu bertanding, kita mengalu-alukan,” katanya. Ketika ditanya jika ada pertandingan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit, beliau berkata kemungkinan pandangan bukan orang politik membazir tetapi bagi Umno, mereka mahu mencuba kekuatan PAS di Kelantan. “Kita menunggu sahaja,” katanya. |
Khamis, 30 September 2010
Galas: Razaleigh bijak berpolitik
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan