Khamis, 23 September 2010

"Bini Puaka": UPM halang pelajar hadir dengar keputusan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti pertama mengeluarkan arahan agar pelajar kampus itu tidak dibawa mendengar keputusan ke atas lima tertuduh kes ‘Bini Puaka’ di mahkamah esok.

Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM, Syed Syafiq Syed Hashim berkata pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (HEP) melarang pihaknya berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tetap dengan pendirian untuk membawa mahasiswa universiti itu kerana berpendapat pentadbiran UPM tidak ada kuasa menghalang mereka dari mendengar keputusan mahkamah.

“Sebaliknya, kami menyeru mahasiswa supaya beramai-ramai memberi sokongan moral kepada lima tertuduh yang terdiri daripada golongan mahasiswa,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengumumkan akan mengadakan “Himpunan Bebaskan Mahasiswa” di Kompleks Mahkamah Jalan Duta jam 8.30 pagi esok sempena keputusan perbicaraan kes “Bini Puaka” yang melibatkan lima mahasiswa Universiti Malaya.

Lima mahasiswa iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak ia bermula Julai tahun lalu.

Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Sehubungan itu juga SMM menggesa mahasiswa di seluruh kampus supaya mengadakan solat hajat mendoakan kemenangan kes bagi kelima-lima mahasiswa itu.

Tiada ulasan: