Sabtu, 18 September 2010

Anwar dapat pencalonan pertama presiden PKR

Abdul Rahim Sabri

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendapat pencalonan pertama bagi bertanding jawatan presiden parti itu mencabar isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Pencalonan tunggal itu setakat ini diperoleh daripada cabang Arau yang bermesyuarat hari ini.

Ketua Pemuda PKR bagi cabang berkenaan Tengku Putra Aelmi Sham Tengku Amiruddin (kiri) berkata ia merupakan keputusan majoriti daripada 61 perwakilan yang hadir.

Tengku Putra yang juga salah seorang perwakilan cabang itu memberitahu Malaysiakini, dalam keputusan yang dicapai secara undi angkat tangan itu, pencalonan Anwar disokong oleh 54 perwakilan manakala tujuh berkecuali.

Menurut Tengku Putra lagi, sebelum pengundian dijalankan terdapat eorang perwakilan yang bangun membantah cadangan itu kerana Anwar sebelum ini enggan dicalonkan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan kali ini.

Bagaimanapun, menurutnya bantahan itu tidak diterima kerana tidak mendapat sokongan daripada perwakilan.

"Manakala sebulat suara memilih Azmin Ali sebagai timbalan presiden," kata Tengku Putra ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Walaupun kemungkinan besar menolaknya, Anwar bagaimanapun masih memerlukan lagi satu pencalonan bagi bagi melayakkannya bertanding jawatan tersebut.

Daripada 18 cabang keputusan pencalonnnya sudah diketahui hari ini, Wan Azizah - presiden PKR sekarang - setakat ini jauh di depan Anwar dengan pencalonan sebanyak 17.

Tiada ulasan: