Isnin, 2 Ogos 2010

Kekerasan FRU, Chua Anggap Langkaui Polis Zaman British


SUARA KEADILAN

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Chua Jui Ming menyifatkan tindakan Polis menyerbu ceramah Pakatan Rakyat di Rengit, Batu Pahat mengesahkan betapa negara ini sudah menjadi negara polis.

Ia berikutan sekurang-kurangnya 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas ceramah dan menghalau ribuan rakyat daripada mendengar ceramah itu.

Serbuan pula dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah di pentas itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Chua Jui Meng kecewa dengan tindakan zalim pimpinan UMNO-BN yang memperalat politik demi menafikan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

Beliau menganggap perkembangan ini membuktikan UMNO di Johor semakin kalut dan panik dengan kemaraan deras Pakatan Rakyat di Johor.

Katanya, tindakan polis pula melampaui batas dan melangkaui gelagat penjajah Britih pada masa lalu.

“Saya kesal sama sekali. Negeri ini dulu ada demokrasi di Johor. Pada zaman penjajah British, (Datuk) Onn Jaafar mengumpulkan orang-orang Melayu di Johor di Batu Pahat pada 1946. Polis di bawah penjajah British tidak menghalang, tidak memerintah mereka bersurai, tidak menggunakan kekerasan terhadap mereka.

"Akan tetapi, bawah UMNO sekarang yang korup dan angkuh, mereka tidak benarkan walhal Brirish sebagai penjajah memberikan laluan kepada orang Melayu berhimpun di Batu Pahat.

"Kali ini, di Batu Pahat juga kumpul beribu-ribu orang tidak dibenarkan dan diancam dengan FRU yang begitu ramai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menganggap kekerasan polis, ditambah pula cengkaman terhadap institusi mahkamah menyukarkan mereka mengambil tindakan balas tetapi pimpinan parti tidak patah semangat dalam membela rakyat.

“Panel peguam kita akan ambil tindakan mahkamah, mengapa di markas PAS juga perhimpunan aman dilarang sama sekali? Malah diancam dengan kekerasan FRU. Kita akan bawa perkara ini ke muka keadilan.

"Kita tahu mungkin susah tetapi kita mahu tunjuk kepada rakyat, ini bukan negara demokrasi lagi. Tidak ada kedaulatan undang-undang, polis tidak dibenarkan bertugas secara profesional, secara berkecuali dalam hal politik,” katanya.

Sungguhpun begitu, Chua Jui Ming percaya kekerasan polis hanya membakar semangat untuk menumbangkan UMNO pada pilihan raya umum akan datang, sekalipun parti pemerintah itu masih taksub dengan mitos bahwa Johor adalah kubu kuat yang tidak mungkin tumbang.

"Bagi Pakatan Rakyat dan PKR di Johor, ini akan menambahkan keinginan kita untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah terdesak ini di Johor,” katanya lagi.

Tiada ulasan: