Selasa, 31 Ogos 2010

Malaysia Malap Di Bawah Umno-BN Setelah 53 Tahun Merdeka


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Umno-Barisan Nasional menyebabkan Malaysia ketinggalan jauh kebelakang dari segi pencapaian ekonomi berbanding negara jiran di rantau ini setelah 53 tahun merdeka.

Ketua WAnita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata Malaysia sebelum ini menjadi penonton kepada kebangkitan rakyat di negara jiran yang bangun menentang kebobrokan pemerintahan seperti di Filipina, Indonesia dan Thai.

Dari segi ekonomi pula katanya, negara sedang menyaksikan kebangkitan Vietnam dan Laos daripada status negara yang punah akibat perang menjadi negara yang rancak kadar pertumbuhannya di rantau ini.

Sementara Brunei pula sedang giat memacu pertumbuhan sambil beransur-ansur meninggalkan imej hebatnya suatu masa dulu sebagai antara negara pengeluar minyak utama di dunia.

Justeru, beliau menggesa perubahan harus dilakukan jika Malaysia mahu diselamatkan.

"Pencapaian kita tidak cemerlang bagi sebuah negara yang telah sekian lama merdeka dan dianugerahkan hasil bumi yang begitu banyak.

"Kita juga mendapati dalam keadaan ekonomi yang mencabar di seluruh dunia, Malaysia masih kekal untuk sekian kalinya dengan belanjawan defisit. Walaupun kurang pendapatan hasil minyak, Malaysia lembap untuk menukar corak perbelanjaannya agar berhemah dan kurang usaha memerangi ketirisan. Cabaran ini ditambah lagi dengan merosotnya keyakinan pelabur asing terhadap negara kita," kata beliau.

Zuraida mahu rakyat Malaysia melihat ke belakang dan merenung kembali kesilapan dan berani untuk melakukan tranformasi negara jika ingin kekal sebagai sebuah negara demokrasi yang berdaulat.

Katanya, tahun ini sempena kemerdekaan ke-53, Malaysia sudah merdeka lebih daripada dua generasi dan pemimpin yang dipilih sendiri oleh rakyatnya telah sekian lamanya mencorakkan pentadbiran negaranya sendiri untuk kepentingan rakyat.

"Setelah dua generasi berlalu amat wajar untuk mengimbas semula apa yang telah kita capai," katanya dalam perutusan kemerdekaan hari ini.

Zuraida berkata, tsunami politik daripada Pilihan Raya Umum ke-12 telah menjadikan lima buah negeri diperintah oleh dua kerajaan yang berbeza, diperingkat negeri oleh Pakatan Rakyat manakala Barisan Nasional memerintah di kerajaan Pusat.

"Ini merupakan satu era baru di mana rakyat bulat memilih untuk memberi kepercayaan mentadbir negeri mereka kepada gabungan pemerintah selain daripada BN.

"Rentetan itu, kita telah digegarkan oleh satu episod rampasan kuasa oleh BN terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Rakyat negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya masih terpingga-pingga bagaimana episod yang memalukan ini boleh berlaku.

"Sebagaimana tsunami PRU 12, peristiwa ini kekal sebagai sebahagian daripada ungkapan sejarah negara kita," kata Zuraida lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Malaysia yang berbilang kaum dan agama telah hidup harmoni bersama sejak puluhan tahun selepas merdeka.

Namun katanya, kebelakangan ini kedengaran suara sumbang yang mengugat toleransi agama di negara ini.

"Negara yang matang demokrasi sepatutnya menambah mutu - lebih harmonis dan toleran.Bagaimana perkara ini boleh berubah, adakah nilai budi kita semakin terhakis?

"Kita mendengar suara anak kelahiran negara kita mendesak agar peluang samarata diberikan kepada semua rakyat dan semua negeri sambil tidak menafikan tumpuan khas kepada golongan terpinggir dan masih memerlukan.

"Kita juga masih terkejut dengan penghijrahan sejuta warganegara Malaysia keluar meningggalkan negara kita dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini! Apakah yang telah berlaku, adakah kedua-dua isu ini berkaitan?

Tiada ulasan: