KUALA LUMPUR: Perbuatan pelik apabila masih ada segelintir umat Islam dikesan berbuka puasa dengan meneguk arak berdasarkan pemeriksaan mengejut dilakukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap beberapa restoran makanan barat dan pub yang menganjurkan promosi bufet Ramadan kepada pengunjung.
Lebih mengejutkan apabila salah sebuah restoran barat yang menjadi tumpuan artis dan selebriti terkenal didapati gagal membuktikan bekalan daging ayam dimasak dibeli dari pusat penyembelihan yang diberi sijil halal Jakim.
Kejadian itu berjaya dibongkar selepas sepasukan pegawai Jakim melakukan pemeriksaan terhadap dua restoran di Bukit Bintang dan Jalan Ampang, di sini semalam selepas mendapat premis terbabit sengaja mencampuradukkan hidang bufet Ramadan dan minuman keras kepada pelanggan.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Amri Abdullah berkata pemeriksaan mengejut terbabit ditumpukan terhadap restoran mewah yang dikesan mempromosikan bufet Ramadan kepada orang ramai tanpa pernah memohon untuk mendapatkan pentauliahan sijil halal Jakim.
Menurutnya, pemeriksaan dibantu tiga anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KDPNKK) Putrajaya mendapati restoran yang disiasat terbabit turut menawarkan minuman arak dan wain kepada pelanggannya.
“Agak mengejutkan apabila siasatan mendapati premis terbabit yang menghidangkan makanan barat tidak pernah memohon sijil halal Jakim, namun sengaja menggantungkan dua kain rentang promosi bufet Ramadan di bahagian luar premis.
“Tindakan itu menyebabkan ada antara pengunjung beragama Islam keliru selepas mendapati pihak restoran mencampuradukkan penjualan ratusan botol arak dan wain di samping deretan sajian bufet Ramadan yang dihidangkan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu di sebuah restoran makanan barat di Jalan Ampang di sini, pihaknya menjalankan pemeriksaan rapi di bahagian dapur selain stor yang digunakan untuk menyimpan barangan kering.
Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan pekerja beragama Islam di restoran berkenaan didapati tidak menggunakan wain dalam masakan, namun pemeriksaan di dalam stor menemui beberapa tin daging siput yang diimport dari Itali, “Apa yang jelas, daging siput menyerupai siput babi itu haram dimakan umat Islam. Tambah ketara terdapat pencampuran antara makanan halal dengan produk tidak halal terutama membabitkan minuman keras,” katanya. -HM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan