SHAH ALAM: Seorang bayi lelaki yang masih hidup dengan badannya dibaluti kain batik ditemui dalam sebuah beg kertas di kawasan Pangsapuri Brunsfield di Seksyen 13, di sini, Ahad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata beg kertas yang memuatkan bayi itu disangkut pada tiang papan tanda di simpang lampu isyarat kawasan kediaman itu.
Bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu ditemui oleh orang awam pada pukul 5.30 petang, katanya ketika dihubungi.
"Berdasarkan siasatan awal, polis percaya bayi itu dilahirkan dalam tempoh kurang dari 24 jam dan berdasarkan warna kulit, polis tidak menolak kemungkinan bayi itu berbangsa Melayu atau Indonesia," katanya. Noor Azam berkata bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)Klang untuk rawatan.
Sehubungan itu, beliau meminta pengamal perubatan atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian 03-55102222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan