Selasa, 31 Ogos 2010

MB Perak belanja sakan pakaian raya

BERNAMA


Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini berbelanja sakan apabila membawa 103 anak angkatnya membeli pakaian raya di sebuah pasar raya di Ipoh.

Kesemua kanak-kanak berkenaan adalah pelajar yang terpilih menyertai Program Anak Angkat Menteri Besar Perak yang dikendalikan Yayasan Bina Upaya (YBU).

Kegembiraan jelas terpancar di wajah semua kanak-kanak itu apabila diberi peluang memilih baju raya masing-masing oleh bapa angkat yang turut menemani mereka.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Gedong, Bidor, Sulen Amamar, 11, berkata beliau sangat gembira kerana terpilih menyertai program itu tahun ini dan berharap akan mendapat peluang yang sama pada tahun-tahun akan datang.

"Saya sangat gembira dapat pakaian dan kasut baru sempena hari raya ini. Sebelum ini, saya tidak pernah dapat baju yang cantik seperti yang dibeli di sini. Bila balik rumah, saya akan tunjukkan baju baru kepada keluarga.

"Terima kasih kepada Menteri Besar kerana memberi peluang kepada kami untuk membeli-belah di sini," katanya.

Bagi Haziq Shukri Khairul Anuar, 11, dari Sekolah Kebangsaan Ayer Papan, Tanjung Tualang, peluang membeli-belah bersama Menteri Besar merupakan hadiah yang tidak ternilai harganya.

"Pertama, saya berterima kasih kepada Menteri Besar yang sudi datang membeli-belah pakaian hari raya bersama-sama. Hari ini saya membeli baju Melayu dan baju t-shirt untuk dipakai sempena Aidilftri. Saya sangat gembira dan tidak dapat diucapkan dengan kata-kata kerana berpeluang menerima baju raya pada tahun ini," katanya.

Seorang lagi anak angkat iaitu Nor Amira Ismail, 11, murid Sekolah Kebangsaan Ulu Kenas, Kuala Kangsar, pula bersyukur kerana berpeluang membeli sepasang baju kurung, tudung dan kasut untuk Hari Raya Puasa yang bakal menjelang.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terbabit dalam memberi bantuan kepada kami yang kurang berkemampuan ini. Sekurang-kurangnya, beban yang ditanggung ibu sebagai ketua keluarga, dapat dikurangkan dengan bantuan yang dihulurkan," katanya.

Program YBU bersama Jabatan Pelajaran Perak dimulakan tahun ini mengambil murid dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk disalurkan bantuan.


Tiada ulasan: