Isnin, 30 Ogos 2010

Mangsa bom buatan meletup meninggal dunia

BERNAMA


Pekerja wanita kafe siber, yang melecur teruk hampir seluruh badan apabila sebuah kotak mengandungi bom buatan sendiri meletup dalam kejadian di tingkat bawah Apartmen Desa Tun Razak, Cheras di Kuala Lumpur meninggal dunia petang tadi.

Wong Siew Song, 51, disahkan meninggal dunia kira-kira 5.10 petang ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia HUKM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata siasatan awal mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan parah yang dialami mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan teruk apabila hampir 70 peratus badannya melecur dan kita tidak menolak kemungkinan faktor ini yang menyebabkan kematiannya. Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar (kematiannya)," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi, mangsa dan seorang pekerja lelaki berusia 38 tahun telah diminta majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri di depan rumahnya sebelum ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

Akibat letupan kuat itu, cermin tingkap di lima rumah dalam deretan bangunan yang sama turut pecah.

Abdul Rahim berkata bagaimanapun, pekerja lelaki itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital yang sama.

"Pekerja lelaki itu masih dirawat dan polis sedang berusaha menyiasat kes ini dari setiap sudut bagi memberkas mereka yang terlibat," katanya.


Tiada ulasan: