Jumaat, 27 Ogos 2010

Rondaan berkuda di Bukit Kiara

BERNAMA

PETALING JAYA – Penduduk Bandar Kinrara (BK) di sini didatangi empat pahlawan baru, Rodillo, Atlanta, Firulette dan Betina yang meronda di kawasan perumahan mereka baru-baru ini.

Mereka ialah empat ekor kuda yang melakukan rondaan pencegahan jenayah bersama anggota Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditugaskan di sekitar Bukit Kinrara 2 hingga 9 dan di Taman Bukit Kuchai.

Tarikan unit berkuda itu adalah usaha terkini yang dilakukan Balai Polis Puchong Jaya yang dinobatkan sebagai balai Polis Terbaik baru-baru ini dalam usaha mereka mendekati masyarakat setempat.

“Idea mewujudkan unit berkuda di sini timbul semasa sesi dialog antara Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias di Bandar Puteri Puchong baru-baru ini,” kata Ketua Balai Polis Puchong Jaya, Cif Insp Lokman Ahmad kepada Bernama di sini.

Lokman berkata empat ekor kuda itu adalah antara 53 ekor kuda yang dibekalkan sepenuhnya oleh Unit Berkuda FRU yang terletak di Cheras.

“Penggunaan kuda ini amat unik dan lain dari yang lain kerana kita percaya kuda-kuda ini dapat menarik perhatian penduduk untuk lebih bersikap terbuka kepada polis,” katanya lagi.

Beliau berkata, rondaan dilakukan setiap hari kecuali pada hari Sabtu dan Ahad, dari jam 11 pagi hingga 3 petang, manakala jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Jumaat.

Menurut Lokman, masih terlalu awal untuknya mendapat maklum balas penduduk mengenai penggunaan kuda tersebut kerana ia baru dilaksanakan.

“Unit berkuda ini masih dalam tempoh percubaan, kita beri tempoh masa dua hingga tiga minggu sebelum mendapatkan maklumbalas penduduk,” katanya lagi.

Katanya, kawasan perumahan dipilih sebagai tempat rondaan unit berkuda itu kerana kebanyakan kes samun atau pecah rumah berlaku di sekitar kawasan tersebut dan penggunaannya dapat sekurang-kurang menakutkan penjenayah dengan imej kuda itu sendiri yang besar dan kuat.

“Kita nak tonjolkan imej gerun kuda-kuda ini supaya penjenayah merasa lebih terancam dengan kehadiran mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Unit Berkuda FRU, DSP Norfauzi Ismawi berkata, penggunaan kuda dianggap sesuai kerana sifat semulajadinya yang senyap berbanding dengan kenderaan bermotor sedia ada.

“Penggunaan kuda juga lebih bersifat mesra alam selain mudah didekati.

“Penduduk akan merasa teruja dan seronok dengan kehadiran haiwan tersebut di kawasan perumahan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Cheras, dekat sini.

Beliau berkata penggunaan kuda dari baka terpilih Criollo, Arab, Thorourghbread dan Warmblood ini akan ditukar setiap hari demi menjaga kualiti dan kesihatan mereka.

“Pihak kami amat prihatin dari segi kualiti dan persembahan mereka. Kami akan pastikan kuda ini ditukar setiap hari dan tidak akan membekalkan kuda yang sama kepada pihak polis demi menjaga aspek kesihatan,” katanya.

Norfauzi berkata kuda-kuda ini akan dilatih terlebih dahulu sebelum dihantar ke mana-mana pejabat polis daerah atas permintaan.

“Sebagai contoh, bagi membiasakan mereka dengan keadaan bunyi bising, alat pemain muzik seperti radio atau hi-fi akan dipasang berhampiran mereka.

“Ini amat penting kerana kita tidak mahu perkara-perkara tidak diingini berlaku seandainya mereka (kuda) merasa terancam,” katanya lagi.

Selain dari latihan bunyi, Norfauzi menambah kuda-kuda ini akan dilatih untuk bersukan antaranya sukan polo, lompat berpagar, dan acara memanah berkuda.

Tiada ulasan: