Ekoran rasa tidak puas hati dengan cara Musa melayan mereka, pucuk pimpinan LDP tiada pilihan lain kecuali ke Kuala Lumpur untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa masalah dihadapi.
Ketua Pemuda LDP Chin Su Ying berkata, mereka belum menentukan masa untuk menemui Pengerusi BN pusat kerana masih menunggu Presiden Datuk V K Liew yang berada di China pulang.
Beliau dijadual pulang dari luar negara dalam beberapa hari ini.
“Kami perlu berjumpa dengan Najib kerana kami menghormati kepimpinan beliau. Kami perlu maklumkan perkara sebenar mengenai keadaan di Sabah.
“Kami tiada masalah dengan pemimpin Umno itu atau dengan mana-mana parti dalam komponen lain.
“Masalah kami hanyalah dengan Musa kerana beliau tidak menghormati pandangan kami. Kami anggap beliau tiada kewibawaan untuk memimpin negeri ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Pagi semalam, Musa melahirkan rasa kecewa dengan tindakan LDP yang masih terbawa-bawa dengan isu pembinaan patung dewa Mazu dengan membangkitkannya dalam mesyuarat BN tiga hari lalu walaupun perkara itu telah pun diselesaikan di mahkamah.
“Sebagai pemimpin Barisan Nasional, kita seharusnya hadir ke mesyuarat dengan niat yang baik dan dengan tujuan untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan individu,” katanya.
Oleh itu tegas Su Ying, pihaknya memutuskan untuk tidak lagi berurusan atau bekerjasama dengan Musa.
Su Ying mengulas kenyataan Musa yang berkata bahawa malang bagi LDP kerana masih terbawa-bawa dengan isu patung Mazu yang kesnya sudah selesai di mahkamah.
Su Ying adalah saudara lelaki Timbalan Presiden LDP Chin Su Phin yang mewakili Liew ke mesyuarat BN itu di mana “perang terbuka” dikatakan tercetus.
Menurut Su Ying, mereka tidak berpuas hati dengan cara Ketua Umno Sabah itu menangani mesyuarat yang dipengerusinya, yang langsung tidak mendengar beberapa isu mereka ketengahkan.
“Apabila wakil kami meluahkan isu mengenai kenapa banyak bangunan mega di Sabah diluluskan tanpa kebenaran daripada Lembaga Pusat, Musa terus menyampuk dan berkata ‘next’.
“Apa yang cuba kami katakan langsung tidak diterima.
“Adakah pemimpin seperti ini ada kredibiliti untuk memimpin parti yang mempunyai banyak komponen tanpa perlu menyakitkan hati?” katanya.
Oleh itu tambah beliau, pihaknya benar-benar tersinggung dengan sikap Musa yang tidak menunjukkan kepimpinan adil kepada semua.
“Tujuan mesyuarat adalah untuk mendengar masalah dan pandangan daripada semua parti seperti perbincangan sebuah keluarga besar,” katanya.
Sebenarnya menurut beliau, perkara yang mereka utarakan semasa mesyuarat tempoh hari bukan pun mengenai patung Mazu tetapi mengenai isu banyak bangunan mega seperti 1Borneo dan Kompleks Suria yang diluluskan tanpa melalui Pusat Lembaga.
Isu ini ditimbulkan kerana ia adalah punca pembinaan patung Mazu di Kudat dihentikan, kononnya kerana tidak melalui kelulusan Pusat Lembaga dan diputuskan tidak sah.
Kata Su Ying, jika dikatakan perlu mengikut peraturan, banyak lagi premis di Sabah, termasuk bangunan kerajaan juga haram kerana tidak mendapat kelulusan lembaga tersebut.
“Mesej yang kami sampaikan di mesyuarat itu ialah kenapa mengamalkan sikap pilih kasih? Tetapi malangnya, Musa tidak cukup prihatin untuk mendengar keluhan kami,” katanya sambil menambah, isu patung Mazu itu adalah peribadi antara Musa dan bekas Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat.
Kata beliau, keadaan semasa diburukkan lagi dengan pendirian “tidak kisah” Musa terhadap isu pemecatan lapan pemimpin masyarakat di Kudat oleh Ketua Daerah Kudat, Harun Bidin.
“Mereka dipecat tanpa pengetahuan wakil rakyat Tanjong Kapor yang dianggap boleh menjejaskan semangat perpaduan dalam komponen BN,” katanya lagi.
Mengenai hubungan dengan pemimpin Umno Sabah yang lain, kata Si Ying, LDP tiada masalah dengan mereka malah hubungan adalah rapat di mana mereka sentiasa berkongsi perkembangan parti masing-masing.
Kelmarin, Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata partinya sanggup bekerjasama dengan mana-mana pemimpin Umno kecuali Musa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pula yakin kenyataan daripada LDP itu bukannya datang daripada pucuk pimpinan parti.
Sebaliknya, kenyataan itu dibuat secara persendirian oleh Su Phin.
“Itu pendapat Chin (Su Phin). Sejak dari dulu lagi beliau membuat kenyataan sembarangan dan biasanya ia lebih kepada kenyataannya sendiri.
“Ia bukan datang daripada presiden dan bukan daripada parti,” kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) ini, satu lagi parti komponen BN Sabah.
Ketika menyuarakan sokongan berterusan PBS terhadap BN negeri pimpinan Musa, Pairin yakin perkembangan terbaru dalam arena politik ini tidak akan memberi kesan ke atas ikatan itu.
“Jika beliau berasa marah, itu terpulang kepada beliau untuk membuat kenyataan tetapi saya tidak percaya ia datang daripada (kepimpinan tertinggi) LDP,” katanya.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup pula menggambarkan bahawa mesyuarat tiga hari lalu berjaya kerana memberi peluang baik bagi semua parti komponen menyelesaikan pelbagai isu.
Katanya, mesyuarat itu membenarkan pemimpinnya untuk berbincang isu berkaitan dengan dasar kerajaan dan rakyat secara jujur.
“Memang perkara biasa apabila pemimpin menyampaikan pandangan mereka, Pengerusi BN negeri akan menyampuk untuk memberi penjelasan dan bertanyakan soalan.
“Ini biasa berlaku di mana-mana mesyuarat. Saya nampak Musa mendengar dan mengambil nota sebelum menjawab soalan yang diutarakan pemimpin komponen,” katanya.
Sambil menganggap ia sebagai proses biasa di mana pengerusi mesyuarat akan bertanyakan soalan atau penjelasan daripada peserta, kata beliau, ia tidak patut diperbesarkan.
“Misalnya, ada sesetengah pihak mempersoalkan kenapa BN negeri mengambil masa yang lama untuk mengadakan mesyuarat kedua itu dan Musa ada alasannya sendiri.
“Tetapi yakin tiada masalah yang tidak boleh dikendalikan oleh Musa,” katanya.
Kata beliau, kerajaan negeri stabil dan isu-isu kecil yang diutarakan tidak boleh menggugat pentadbiran BN kerana ia berlandaskan pada sistem perikatan.
“Namun saya berpendapat adalah lebih baik BN adakan mesyuarat dengan lebih kerap supaya ia dapat mewujudkan persefahaman yang lebih baik di kalangan rakan yang lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan