Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR - Ketua Umum Persatuan Pelajar Indonesia Universiti Malaya (PPIUM), Rahmad Hidayat menyeru semua pihak di Malaysia dan Indonesia supaya bertenang dan tidak termakan dengan hasutan pihak tertentu yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua buah negara.
Ini berikutan tindakan agresif yang membaling najis ke perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan memijak Jalur Gemilang dalam satu demonstrasi di luar kedutaan berkenaan 23 Ogos lalu.
Peserta demonstrasi tersebut juga dilaporkan telah membakar dan meludah bendera Malaysia, serta menuntut kerajaan Indonesia memanggil pulang dutanya di Malaysia.
Kejadian ini berlaku susulan tindakan Polis Marin Malaysia menahan tiga orang pegawai penguatkuasa laut Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan Malaysia pada 13 Ogis lepas.
Sebelum penahanan itu, penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh orang nelayan Malaysia yang didakwa memasuki perairan Indonesia.
Pihak berkuasa Malaysia mempertahankan bahawa nelayan yang ditahan masih berada dalam perairan negara.
"Kami menyelar tindakan yang dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai BENDERA (Benteng Demokrasi Rakyat) itu. Ia merupakan perbuatan yang sangat memalukan. Kami menuntut pihak pemerintah di Indonesia supaya mendakwa mereka yang melakukan aksi keji tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata Rahmad Hidayat di perkarangan Masjid Al Rahman, Universiti Malaya sejurus selepas solat Jumaat semalam.
Bersama-sama dengan pertubuhan mahasiswa dari Universiti Malaya, Rahmad menjelaskan apa yang timbul hanyalah salah faham yang berlaku dari sudut teknikal, dan ianya tidak perlu diperbesar-besarkan.
Beliau berkata pentadbiran kedua-dua buah negara perlu mengambil sikap berlapang dada dan menyelesaikan perkara yang berlaku atas semangat muafakat dan kerjasama.
"Kami turut mengalu-alukan pertemuan, dialog dan diskusi antara kedua-dua negara, pada mana-mana peringkat. Untuk permulaan, kami akan mulakan pada peringkat kampus dan siswa terlebih dahulu di Universiti Malaya," jelas Rahmad.
Turut hadir termasuk wakil Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) , Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis).
Yang DiPertua PMIUM, Ahmad Syazwan Hassan menuntut kerajaan memastikan keselamatan warga Malaysia di Indonesia, termasuk pekerja, diplomat dan penuntut universiti di Indonesia.
"Sebagai saudara serumpun, yang juga majoritinya adalah seagama dengan kita, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak membalas kembali perbuatan penunjuk perasaan di Indonesia itu. Tidak ada manfaat yang diperolehi," nasihat Syazwan.
Sementara itu, Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman mendesak kerajaan untuk tidak memanjangkan lagi kemelut tersebut, serta berusaha untuk menjernihkan hubungan baik yang sekian lama terjalin.
"Janganlah hanya kerana insiden kecil seperti ini, semangat persaudaran yang telah lama wujud, ingin direnggangkan. Malaysia dan Indonesia sebenarnya memerlukan antara satu sama lain. Tidak perlu semua tindakan yang diambil oleh kedua-dua pihak itu bersifat politik, tetapi pendekatan akademik adalah lebih berkesan," kata Ridzuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan