Abdul Rahim Sabri |
Perkara itu dinyatakan oleh pembantu peribadi ahli parlimen tersebut, Chan Foo Chuen dalam nota liputan kepada media.
"Harap maaf kerana program pemberian sumbangan di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru dibatalkan. Sekian terima kasih," demikian menurut nota liputan dari Chan.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan dalam nota liputan tersebut sebab majlis itu dibatalkan.
Ketika dihubung Malaysiakini, Chan berkata beliau tidak tahu mengapa majlis itu dibatalkan dan meminta supaya bertanya sendiri kepada William.
Malaysiakini kemudiannya berusaha untuk menghubungi William tetapi tidak berjawab. SMS yang dihantar kepada beliau juga belum dijawab.
Pembatalan tersebut dibuat beberapa jam selepas Chan menghantar nota liputan yang menyebut William akan menghadiri majlis tersebut di masjid berkenaan.
Menurut jadual awalnya, majlis sumbangan itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di masjid berkenaan.
Sebelum ini, William menjadi sasaran Mingguan Malaysia kerana menghadiri majlis sumbangan kepada masjid yang sama.
Akhbar milik Umno itu melaporkan bahawa ahli parlimen Selayang itu diberi kebebasan berada di saf paling hadapan dalam masjid berkenaan.
Di bawah tajuk "Kesucian masjid terus dinodai", akhbar itu memetik sebuah laman blog, yang menyebut, pihak yang bersekongkol membenarkan William memasuki ruang solat masjid tersebut adalah orang Melayu yang beragama Islam.
William menjadi sasaran selepas akhbar berkenaan menyiarkan di muka depannya mengenai kunjungan kontroversi ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke sebuah surau di Kajang minggu lalu.
Akhbar itu menyebut, tindakan itu terbongkar "cuma sehari selepas umat Islam di negara ini dikejutkan dengan tindakan Teo 'bertaskirah' di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat".
Perbuatan wakil rakyat PKR itu, lapor akhbar itu lagi, bukan sahaja memperkecilkan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang orang bukan Islam memasuki ruang solat tetapi turut menghina kesucian agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan