Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR - Teo Lee Lan, adik kepada bekas pembantu politik, Teo Beng Hock yang mati semasa dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setahun lalu berharap keadilan kepada mendiang abangnya dapat ditegakkan.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 Lee Lan menyampaikan harapan beliau dan keluarga dalam mesej melalui rakaman video.
"Keadilan begitu sukar (diperolehi). Dalam tempoh satu tahun yang lalu keluarga kami menunggu, tetapi masih tidak ada jawapan tentang kematian Beng Hock. Kami tertanya-tanya, adakah akan ada jawapan?
"Hari kemerdekaan sudah hampir, tetapi kalau jawapan ini masih belum diperolehi, bagaimanakah kami boleh menyambut hari kemerdekaan ke-53?" soal Lee Lan dalam ucapan Hari Merdeka selama hampir dua minit yang dimuatnaik di laman web youtube.
Pada 16 Julai 2009, Beng Hock yang bertugas sebagai setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM Selangor di sini.
Sehari sebelumnya, beliau dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan Dewan Undangan Negeri yang membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Selangor.
Berikutan itu, satu inkues ditubuhkan bagi menjalankan siasatan bagi menentukan punca kematiannya di Mahkamah Shah Alam, di ketuai koroner, Azmil Muntapha Abas.
Semenjak inkues bermula pada 29 Julai 2009, belum ada keputusan muktamad berhubung punca kematian Beng Hock walaupun pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak menolak kemungkinan 80 peratus mangsa dibunuh.
Lee Lan berharap tidak akan ada lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa akibat kezaliman pihak yang tidak bertanggunggjawab dalam tindakan dan prosedur mereka ketika menjalankan tugas.
"Saya berharap, seluruh rakyat Malaysia ketika menyambut Hari Kemerdekaan, akan memperingati Beng Hock dan juga semua rakyat yang terkorban akibat seksaan (seperti ini). Biarlah Beng Hock menjadi orang yang terakhir.
"Ketidakadilan yang dialami oleh beliau, akan membawa perubahan yang nyata, maka hak asasi saudara mara anda akan terjamin. Saya berharap, anda tidak akan mengalami kesengsaraan kehilangan ahli keluarga yang tersayang," kata Lee Lan mengakhiri ucapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan