Selasa, 2 Mac 2010

Peguam syarie bantu ibu Syafia tuntut fasakh

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada ibu Syafia Humairah Sahari, 3, kanak-kanak yang mati didera, Nurhanim Aziz, 25, untuk memfailkan fasakh terhadap suaminya yang masih dalam tahanan penjara, kata Timbalan Presidennya, Musa Awang.

“Kita dengar dia (Nurhanim) menjalinkan hubungan dengan lelaki lain walaupun statusnya masih lagi bergelar isteri orang. Sudah tentu ia menjadi suatu kesalahan kerana dia masih lagi bergelar isteri orang.

“Jadi, kita mahu membantu dia membuat tuntutan fasakh supaya selepas ini dia bebas memilih mana-mana lelaki untuk dijadikan suami. Sebagai isteri, dia berhak membuat tuntutan itu kerana suaminya dikenakan penjara selama enam tahun.

“Mengikut hukum Islam, jika seorang suami meninggalkan isteri lebih dua tahun, isteri boleh membuat tuntutan. Bagi Nurhanim, tempoh itu sudah lebih dan dia berhak meminta fasakh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nurhanim sebelum ini mendakwa hidupnya sekeluarga menderita selepas suami dipenjara atas kesalahan jenayah yang dilakukan sehingga memaksanya keluar melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara keluarga.

Musa berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Nurhanim dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terperinci sebelum kesnya dibawa ke mahkamah.

“Masalah yang dihadapi Nurhanim untuk mendapatkan fasakh tidaklah rumit seperti yang didakwa kerana jika melalui prosedur dan mempunyai maklumat terperinci, ia boleh dilakukan dalam tempoh singkat.

“PPSM yakin, masalah yang dihadapi Nurhanim dapat diselesaikan secepat mungkin dan tidak lagi dibebani status isteri orang jika mempunyai niat untuk berkahwin lain,” katanya yang simpati terhadap Nurhanim atas kejadian menimpanya.

Tiada ulasan: