Sabtu, 13 Mac 2010

Konvensyen Umno Selangor bulan depan mahu nilai Pakatan

THE MALAYSIAN INSIDER

TANJONG KARANG — Umno Selangor akan mengadakan satu konvensyen awal bulan depan di Shah Alam bagi membincang dan mengkaji prestasi pentadbiran Pakatan Rakyat sepanjang dua tahun di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata konvensyen seumpama itu yang julung-julung kali diadakan di negeri ini akan mengupas segala isu yang sedang dihadapi pakatan pembangkang, kesan daripada pilihan raya umum ke-12.

Beliau berkata pemimpin Umno Selangor akan diberikan kebebasan untuk mengutarakan pandangan mengenai isu-isu terkini yang melanda pakatan pembangkang di Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada konvensyen berkenaan.

“Kami akan mengkaji secara mendalam kesan pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor dari segi ekonomi, sosial dan politik,” kata beliau dipetik Bernama.

“Umno Selangor berhasrat untuk mendengar pandangan, cadangan dan rungutan daripada akar umbi tentang situasi semasa pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor,” kata Noh kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-38 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Harun di sini.

Konvensyen sehari itu yang dijangka dihadiri semua pimpinan Umno Selangor akan dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Sepang Datuk Mohd Zin Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mendakwa Universiti Industri Selangor (Unisel), yang diurus kerajaan Selangor melalui Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB), mencatatkan kerugian hampir RM20 juta tahun lepas.

“Pengambilan pelajar di Unisel juga turun baru-baru ini dan kerajaan negeri tidak memaklumkan perkara ini kepada rakyat,” katanya, sambil menambah bahawa pihaknya akan mendedahkan fakta-fakta terperinci berhubung isu berkenaan pada konvensyen itu nanti.

Tiada ulasan: