BERITA HARIAN ONLINE
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan semalam, mendakwa penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 bersikap biadab apabila tidak menjemput Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, selaku tuan rumah untuk melepaskan perlumbaan peringkat pertama yang bermula dari Kota Bharu, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood, mengeluarkan kenyataan itu selepas penganjur memberi kesempatan berkenaan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, melepaskan pelumba, walaupun pada masa sama Nik Aziz turut hadir.
"Kerajaan negeri amat kecewa dengan tindakan itu dan menganggap tahun ini paling sedih pada satu acara sukan terbesar negara kerana perkara yang memalukan seperti berkenaan tidak sepatutnya berlaku kepada seorang Menteri Besar, yang menjadi tuan rumah lumba basikal berprestij itu.
"Mengikut perjanjian antara penganjur dan kerajaan negeri, Nik Aziz diberi penghormatan melepaskan pelumba itu, namun sebaliknya berlaku, apabila Awang Adek dijemput yang melanggar protokol acara itu," katanya kepada media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darulnaim, di sini.
Kelantan menjadi negeri pelepas untuk LTdL 2010 peringkat pertama, setelah dua tahun dipinggirkan dari jadual lumba basikal berprestij itu. Peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang semalam, membabitkan saingan sejauh 174.5 kilometer.
LTdL 2010 dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan disertai 20 pasukan.
Perlumbaan kali ini membabitkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM710,650.
Abdul Fatah mendakwa, cadangan untuk membenarkan Nik Aziz melepaskan pelumba sudah dipersetujui oleh penganjur pada mesyuarat terakhir di Kota Bharu, malam kelmarin.
Namun begitu katanya, apabila Nik Aziz tiba pada majlis pelepasan pelumba itu semalam, Awang Adek pula yang diberi kesempatan untuk melepaskan pelumba LTdL 2010 dan langkah itu sudah tentu mencemar serta memalukan Menteri Besar.
Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat, termasuk agensinya dalam menganjurkan sebarang sukan utama di negeri ini, sekali gus membuktikan Kelantan tidak meminggirkan pembangunan sukan.
Katanya, Kelantan pernah dipilih sebagai negeri pelepasan LTdL terbaik sebelum ini dan dengan tercalitnya peristiwa yang memalukan pagi semalam itu, kerajaan negeri terpaksa mengadakan perbincangan secara terperinci terhadap permohonan dari pihak tertentu dalam penganjuran sebarang sukan di negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan