Rabu, 3 Mac 2010

Kartika dijangka temui Tengku Abdullah pagi ini

BERITA HARIAN ONLINE


PEKAN: Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 33, yang sedang menunggu hukuman sebat kerana kesalahan minum arak tiba di sini malam kelmarin, sebelum dijangka menemui Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi ini.

Kartika Sari ditemani bapanya, Shukarno Abdul Mutalib, 60, kakaknya, Ratna Seri Dewi, 35, dan bapa saudaranya, Amley Ayatt, 44, bertolak dari Kuala Kangsar kira-kira jam 12 tengah hari semalam menaiki kereta dipandu Shukarno.

Kartika ketika dihubungi berkata, perjalanan jauh ditempuhinya agak meletihkan, tetapi beliau lega kerana Tengku Abdullah berkenan menemuinya hari ini.

"Saya tidak tahu menggambarkan perasaan ketika ini tetapi saya sudah bersedia bertemu baginda," katanya di sini semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kartika Sari mahu menemui Tengku Mahkota yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang (Maip) bagi menyelesaikan isu penangguhan hukuman sebat terhadapnya.

Tiada ulasan: