BANGKOK — Kumpulan anti kerajaan Thailand, atau dikenali sebagai kumpulan baju merah, hari ini mengancam untuk menyimbah darah mereka di Rumah Kerajaan, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri di sini, pada pukul 6 petang esok sekiranya kerajaan masih enggan membubarkan Parlimen.
Pemimpin Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator (UDD) Natthawut Saikua berkata mereka akan mula mengumpulkan darah daripada 100,000 penunjuk perasaan di pentas utama perhimpunan besar-besaran di Jambatan Phan Fa, Ratchadamneon Avenue, di sini pada pukul 8 pagi esok.
Beliau turut mengancam untuk menyimbah darah di pejabat parti pemerintah, Parti Demokratik, di Jalan Setthasiri, dan kediaman rasmi Perdana Menteri di sini kemudiannya, jika kerajaan masih terus tidak mengendahkan tuntutan mereka supaya Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berundur, atau membubarkan Parlimen.
“Kami akan pastikan yang Perdana Menteri tidak boleh meneruskan kerja-kerjanya,” katanya.
UDD yang mengetuai perhimpunan besar-besaran di sini semalam mengeluarkan amaran baru itu selepas tempoh kata dua yang diberikannya sebelum ini, iaitu 12 tengah hari tadi tamat, dan kerajaan menolak tuntutan mereka.
Penunjuk perasaan berbaju merah berkumpul secara aman di hadapan markas Rejimen Infantry ke-11 di daerah Bang Khen di sini tengah hari ini dalam usaha mereka untuk mendapatkan jawapan terhadap kata dua yang diberikan, dan mereka meninggalkan premis itu dua jam kemudian untuk berhimpun di kawasan pentas utama di tengah ibukota.
Sementara itu pemangku jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn berkata dua anggota tentera mengalamai kecederaan ringan dalam apa yang disyaki serangan bom tangan M79 di Rejimen Infantri Pertama di Jalan Vibharudi Rangsit, di sini hari ini.
Bagaimanapun menurutnya motif serangan atau mereka yang bertanggungjawab tidak dapat dipastikan, dan siasatan masih dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan