BERNAMA
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra yang sedang dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, sejak 15 Mei lepas akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, keputusan itu diambil hasil laporan terbaru anggota panel perubatan yang dilantik untuk membuat pemantauan keadaan kesihatan baginda sejak dimasukkan ke hospital di republik itu.
Menurutnya, anggota panel merumuskan bahawa kesihatan baginda adalah stabil untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi meneruskan rawatan.
"Hospital Kuala Lumpur disyorkan sebagai hospital paling sesuai untuk meneruskan rawatan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan kerana mempunyai tenaga pakar, ahli-ahli terapi, peralatan dan tempat yang mencukupidan sesuai. Hospital ini juga mempunyai Wad Diraja," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Exco kerajaan negeri pada 18 November lepas telah melantik seramai enam pakar perubatan terdiri daripada doktor pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Institut Jantung Negara (IJN) dan HKL bagi menganggotai panel itu.
Panel perubatan itu bertanggungjawab memantau dan menyediakan laporan perubatan tahap kesihatan Sultan dari semasa ke semasa.
Nik Aziz bagaimanapun enggan mengulas mengenai tarikh Tuanku Ismail Petra akan dipindahkan ke HKL dan mengenai kos rawatan yang ditanggung oleh kerajaan negeri sepanjang baginda menerima rawatan di hospital di Singapura.
Katanya, menurut laporan panel yang diterimanya bertarikh 24 Disember lepas, buat masa ini Tuanku Sultan masih tidak dapat menggerakkan tangan dan kaki, daya penglihatan kurang dan percakapan juga terjejas.
"Baginda diberi rawatan yang intensif dari segi ubat-ubatan, fisioterapi, terapi, cara kerja dan terapi pertuturan. Baginda menunjukkan kemajuan hasil daripada rawatan intensif tersebut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan